GAMBAR fail menunjukkan mangsa serangan senjata kimia di Khan Sheikhoun di wilayah Idlib.  Gambar dirakam 4 April lalu.   - Agensi
GAMBAR fail menunjukkan mangsa serangan senjata kimia di Khan Sheikhoun di wilayah Idlib. Gambar dirakam 4 April lalu. - Agensi
Reuters

Paris: Perisikan Perancis mendapati bahawa tentera yang setia kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad melancarkan serangan gas sarin di utara Syria pada 4 April lalu.

Laporan rahsia itu juga mendakwa Bashar atau orang kepercayaannya yang mengarahkan serangan kimia di bandar Khan Sheikhoun yang mengorbankan 86 mangsa, majoritinya orang awam termasuk ramai kanak-kanak.

Kejadian itu menyebabkan Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu terhadap sebuah pangkalan udara Syria, serangan pertama terhadap rejim Bashar sejak perang saudara selama enam tahun itu tercetus.

Bashar dalam dua wawancara media selepas serangan berkenaan mendakwa bukti serangan gas itu adalah palsu dan menafikan kerajaannya pernah menggunakan senjata kimia.

Laporan enam muka surat yang ditulis tentera dan perkhidmatan perisikan luar Perancis yang dilihat Reuters membuat kesimpulan berdasarkan sampel yang diperoleh di lokasi serangan dan sampel darah mangsa.

“Kami tahu dari sumber bahawa proses pembuatan sampel yang diambil itu tipikal dengan cara di makmal di Syria.

“Cara ini adalah tanda pengenalan rejim berkenaan dan ia membolehkan kami menamakan siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.

“Kami tahu kerana kami menyimpan sampel daripada beberapa serangan sebelum ini dan kami gunakan sebagai perbandingan,” kata Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault kepada wartawan selepas membentangkan penemuan itu kepada Kabinet.

Menurut laporan itu, antara elemen yang ditemui pada sampel itu adalah bahan hexamine, tanda yang mengesahkan gas sarin dihasilkan oleh kerajaan Syria.

Katanya, penemuan itu sepadan dengan sampel yang diperoleh perisikan Perancis termasuk satu bom yang tidak meletup dalam satu serangan di Saraqib pada 29 April 2013, yang Barat dakwa dilancarkan oleh kerajaan Bashar.

Perkhidmatan perisikan Perancis juga percaya hanya Bashar dan beberapa orang kanannya yang boleh memberi arahan serangan menggunakan senjata kimia.

Tambahnya, kumpulan penentang di wilayah Idlib tidak mempunyai kemampuan untuk membangunkan dan melancarkan serangan kimia manakala militan Daish tiada di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 10:06 AM