KENYATAAN ahli politik Belanda Geert Wilders di Twitter mengenai pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW. - Twitter Geert Wilders
KENYATAAN ahli politik Belanda Geert Wilders di Twitter mengenai pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW. - Twitter Geert Wilders
Agensi

Lahore: Sebuah parti Islam di Pakistan mendesak kerajaan mengusir Duta Belanda dalam bantahannya terhadap tindakan seorang ahli politik negara itu menganjurkan pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW.

Ratusan aktivis berkumpul di Lahore semalam, menyertai tunjuk perasaan anjuran parti Tehreek-e-Labbaik.

Parti berkenaan menduduki tangga kelima jumlah pungutan undi dalam pilihan raya umum bulan lalu.

Jumlah penunjuk perasaan dijangka bertambah ketika penganjur mengancam mengadakan tunjuk perasaan di Islamabad bagi mendesak Perdana Menteri baru Pakistan, Imran Khan, memutuskan hubungan diplomatik dengan Belanda.

“Duta Belanda perlu disuruh pulang serta-merta. Kami tidak akan berhenti selagi kerajaan tidak memenuhi tuntutan ini,” kata jurucakap Labbaik, Ejaz Ashrafi.

Pakistan sudah mengemukakan bantahan kepada kerajaan Belanda mengenai tindakan ahli politik berhaluan kanan, Geert Wilders, menganjurkan pertandingan itu yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Wilders yang merancang mempamerkan kartun Nabi Muhammad SAW pada dinding parti politiknya di Parlimen berkata, sudah menerima ratusan penyertaan.

“Kementerian Luar sudah menghubungi kerajaan Belanda memberitahu mengenai bantahan itu,” kata kenyataan pejabat Perdana Menteri Pakistan.

Minggu lalu, pejabat Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berkata, kerajaan tidak terbabit dengan pertandingan itu, manakala Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi berkata, pihaknya akan membawa kes itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Mereka tidak faham tindakan itu amat ‘menyakitkan’ umat Islam,” katanya.

Tahun lalu, tunjuk perasaan anjuran Labbaik menutup lebuh raya ke Islamabad selama tiga minggu selepas kerajaan melakukan perubahan kecil kaedah angkat sumpah menggunakan ayat al-Quran yang ditukar kepada ikrar ringkas.

Parti Liga Islam yang memerintah terpaksa menerima peletakan jawatan Menteri Undang-Udang Zahid Hamid yang melakukan perubahan itu selepas tujuh terbunuh dan hampir 200 cedera selepas polis cuba menyuraikan tunjuk perasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 1:59 PM