Reuters

Islamabad: Polis menahan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di Lahore hari ini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana secara haram menjual hadiah yang diberi kepada negara, menurut peguamnya.

Pakar perundangan berkata, hukuman itu boleh menamatkan peluang Khan untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) yang perlu diadakan menjelang awal November ini.

Parti politik pimpinan Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), dalam kenyataannya memaklumkan, rayuan sudah dikemukakan kepada Mahkamah Agung susulan keputusan oleh mahkamah daerah itu.

Saksi daripada media tempatan dan Reuters memaklumkan polis mengepung kediaman Khan di Lahore selepas mahkamah membuat keputusan itu.

Hukuman itu berkait kepada siasatan dilakukan suruhanjaya pilihan raya, yang mendapati Khan bersalah kerana secara haram menjual hadiah yang diberi kepada negara ketiak dia menjadi Perdana Menteri antara 2018 hingga 2022.

Bagaimanapun, Khan, 70, menafikan melakukan sebarang kesalahan.

Bintang kriket yang bertukar menjadi ahli politik itu dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk membeli dan jual hadiah yang sepatutnya menjadi milik negara.

Ia membabitkan hadiah yang diterima ketika lawatan rasmi ke luar negara bernilai lebih 140 juta rupee Pakistan (RM2.9 juta).

Pasukan keselamatan mengiringi Imran Khan. - FOTO Reuters
Pasukan keselamatan mengiringi Imran Khan. - FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 5:25 PM