Rutte
Rutte
Wilders
Wilders
Agensi

Amsterdam: Parti pimpinan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte meraih kemenangan dalam pilihan raya negara itu, menumpaskan pemimpin anti-Islam dan anti-Kesatuan Eropah, Geert Wilders, semalam.

Ia sekali gus melegakan kerajaan beberapa negara di Eropah yang berdepan dengan peningkatan fahaman pelampau dan nasionalisme.

Rutte menyambut kemenangannya dengan berkata, “malam yang Belanda - selepas Brexit dan selepas pilihan raya di Amerika Syarikat - menghentikan fahaman populasime yang salah.’

Dia menerima ucapan tahniah daripada pemimpin Eropah dan bercakap dengan sebahagian mereka menerusi telefon.

Matawang euro juga meningkat apabila keputusan itu menunjukkan kemenangan jelas dicapai oleh parti Rutte.

Bagaimanapun, beberapa pakar berkata, kemenangan Rutte itu berdasarkan beberapa faktor yang tidak semuanya boleh berlaku di Perancis - negara yang juga berdepan dengan cabaran kumpulan pelampau pimpinan Marine Le Pen pada pilihan raya bulan depan.

Lebih-lebih lagi beberapa parti, termasuk VVD yang diketuai Rutte dan Parti Demokrat Kristian (CDA) yang menduduki tempat ketiga, juga menerima dasar anti-pendatang yang diperjuangkan Wilders.

Pada masa sama, sokongan terhadap Rutte juga melonjak pada saat akhir hasil daripada sengketa diplomatik dengan Turki yang membolehkan dia bertindak keras terhadap negara majoriti penduduk Islam itu ketika kempen pilihan raya yang tertumpu pada isu pendatang dan integrasi.

Wilders yang berjanji akan menutup masjid dan mengharamkan kitab suci al-Quran di Belanda jika dia menang berkata, walaupun tidak memenangi pilihan raya semalam seperti yang diharapkannya, dia tetap bersedia menjadi pembangkang yang tegas.

“Kita tidak kalah. Kita berjaya menambah kerusi di Parlimen. Itu sudah cukup membanggakan,” kata Wilders.

Dengan kira-kira 95 peratus undi sudah dikira, Parti VVD pimpinan Rutte meraih 33 daripada 150 kerusi Parlimen, berkurangan daripada 41 yang dimenanginya pada pilihan raya 2012.

Parti Wilders pula di tempat kedua dengan 20 kerusi sementara CDA dan Demokrat 66 masing-masing memenangi 19 kerusi.

Keputusan pilihan raya itu melegakan parti utama di seluruh Eropah, khususnya Perancis dan Jerman yang menyaksikan kumpulan nasionalis dan pelampau berusaha untuk memenangi pilihan raya tahun ini dan mengancam kewujudan Kesatuan Eropah.

Peter Altmaier, pembantu kanan Canselor Jerman, Angela Merkel tidak dapat menahan kegembiraannya apabila dia menulis dalam Twitter: “Belanda oh Belanda - kamulah juara. Tahniah dengan kemenangan kamu.”

Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault pula menulis: “Tahniah kepada Belanda kerana berjaya mengekang kebangkitan pelampau.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 8:14 AM