POMPEO (kiri) membatalkan lawatan ke Korea Utara atas arahan Trump. FOTO/AFP
POMPEO (kiri) membatalkan lawatan ke Korea Utara atas arahan Trump. FOTO/AFP
AFP

BEIJING: China semalam menggelar Donald Trump sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu membatalkan kunjungan diplomat atasannya ke Korea Utara dan mendakwa Beijing menghentikan usaha membawa Pyongyang melepaskan senjata nuklearnya.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dijangka membuat kunjungan keempatnya ke negara penentang itu minggu depan dalam apa yang dianggap langkah berikutnya ke arah ‘gencatan senjata akhir Korea Utara dan disahkan sepenuhnya.’

Namun Trump, yang berdepan rentetan masalah domestik dan laporan bebas bahawa Korea Utara hanya melakukan sedikit atau tiada langsung untuk menghentikan program nuklearnya, menyebabkan kunjungan itu dibatalkan.

Pemimpin AS itu meminta Pompeo membatalkan lawatan ke Pyongyang kelmarin kerana berpendapat, mereka tidak membuat perkembangan mencukupi berkaitan gencatan senjata di Semenanjung Korea.

Trump juga meningkatkan retoriknya terhadap China, yang semakin lantang ketika pilihan raya Kongres semakin hampir dan perang dagangan meletus antara dua ekonomi atasan dunia itu.

“Oleh kerana pendirian dagangan tegas kami terhadap China, saya tidak percaya mereka membantu kita dengan proses gencatan senjata seperti dulu walaupun sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Pyongyang,” katanya.

Beijing membalas balik terhadap tuduhan ‘tidak menentu’ Trump dan berkata ia sudah membuat aduan diplomatik rasmi berhubung komen itu.

“Kenyataan AS bertentangan dengan fakta asas dan tidak bertanggungjawab. Kami amat bimbang dengan perkara ini,” kata jurucakap Kementerian Luar Lu Kang dalam kenyataan dihantar ke laman webnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 8:34 AM