RODDRIGUEZ telah ditahan di pinggir Houston. FOTO/AFP
RODDRIGUEZ telah ditahan di pinggir Houston. FOTO/AFP
AFP

CHICAGO: Polis Texas menahan seorang lelaki disifatkan sebagai pembunuh bersiri kerana membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dalam tempoh tujuh hari.

Jose Gilberto Rodriguez ditahan 14 minit selepas dikejar polis dan didakwa dengan dua pertuduhan membunuh.

Polis berkata, pertuduhan ketiga kerana membunuh dijangka dikemukakan hari ini sebaik bukti berjaya diproses.

Penduduk di pinggir Houston memaklumkan pihak berkuasa lokasi kenderaan milik lelaki berusia 46 tahun itu pagi semalam, beberapa jam selepas polis memaklumkan orang awam, seorang pembunuh bersiri masih bebas.

Polis menyifatkan Rodriguez sebagai orang diparol yang perlu dipantau peranti pengesan dipasang pada buku lalinya namun alat itu ditanggalkan beberapa hari sebelum dia melakukan jenayah.

Akhbar Houston Chronicle melaporkan, Rodriguez adalah pesalah seks disabitkan yang memiliki kesalahan lampau sejak 1989.

Tuduhan jenayah terkini dilakukannya mendedahkan kegagalan penguatkuasaan undang-undang tempatan untuk memburu pesalah parol kerana melanggar syarat pembebasan dari penjara.

Ketua Polis Houston, Art Acevedo dalam sidang media mendakwa, pihaknya berdepan kekurangan pegawai penguat kuasa undang-undang untuk memantau orang diparol.

“Kami mempunyai beberapa kes pesalah yang memotong alat pengesan dan tidak lama kemudian mereka melakukan pembunuhan,” katanya.

Pegawai penguat kuasa memberitahu Rodriguez ditahan tanpa sebarang insiden selepas kenderaannya dikejar yang kemudian berakhir dengan polis menghalang laluannya. Polis turut menjumpai pistol dalam kenderaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 10:53 AM