PUTERA George (dua dari kiri) menjadi sasaran penyokong militan Daesh. -Foto EPA
PUTERA George (dua dari kiri) menjadi sasaran penyokong militan Daesh. -Foto EPA

LONDON : Seorang rakyat Britain yang menyokong militan Daesh dan mengaku merancang membunuh Putera George dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semalam.

Husnain Rashid dari Nelson di Lancashire, utara England akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya 25 tahun di dalam penjara.

Tertuduh menukar pengakuan semasa perbicaraan dan mengaku merancang pembunuhan waris takhta Diraja Britain yang berusia empat tahun itu.

Juri di Mahkamah Woolwich Crown turut mendengar bagaimana lelaki berusia 32 tahun itu menggunakan media sosial Telegram pada Oktober lalu bagi mendapatkan sokongan untuk menyerang Putera George yang juga anak sulung kepada pasangan Putera William dan Kate.

Putera kecil itu sudah memulakan persekolahan di barat daya London, sebulan sebelum itu dan Rashid memuat naik foto putera berkenaan di sekolah serta menggunakan teknik ‘super impose’ bagi meletak bayang dua militan bertopeng pada foto terbabit.

“Anggota keluarga Diraja tidak akan terlepas,” katanya pada mesej yang disertakan bersama foto itu sambil menambah, “sekolah bermula awal”.

Hakim Andrew Lees ketika menjatuhkan hukuman berkata, mesej disampaikan tertuduh adalah jelas kerana memberitahu secara terperinci nama serta alamat sekolah Putera George.

“Anda turut memuat naik imej sekolah Putera George dan arahan atau ancaman yang menyatakan Putera George serta anggota keluarga Diraja lain perlu dilihat berpotensi menjadi sasaran serangan,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 11:47 AM