KETIBAAN keranda yang membawa Putera Philip. FOTO AFP
KETIBAAN keranda yang membawa Putera Philip. FOTO AFP
AFP

United Kingdom: Ratu Elizabeth II mengucapkan 'selamat tinggal' buat kali terakhir kepada suaminya, Putera Philip pada majlis pengebumian diraja yang diadakan di Gereja St George, Istana Windsor.

Dengan hanya 30 tetamu berikutan pandemik Covid-19, Duke of Edinburgh yang meninggal pada 9 April berusia 99 tahun itu dikebumikan di makan diraja.

Elizabeth, 94, yang dilihat pertama kali selepas kematian suaminya, memakai baju serba hitam dan duduk berseorangan dan dalam kedudukan penjarakan sosial dengan ahli keluarga yang lain.

Upacara pengebumian itu disiarkan secara langsung di televisyen dan dapat dilihat oleh seluruh Britain dan dunia.

Istiadat yang berlangsung dalam suasana sederhana itu dimulakan dengan keranda Philip dibawa menaiki Land Rover yang diubah suai oleh mendiang sendiri dari bangunan Istana Windsor masuk ke Gereja St George.

Hadirin bertafakur selama satu minit dengan diiringi tembakan oleh Troop Royal Horse Artillery.

Topi dan pedang tentera laut mendiang diletakkan di atas keranda yang dihiasi kalungan bunga ros putih dan lily daripada Elizabeth sendiri.

Turut hadir adalah cucunya, Putera William, 38, dan Putera Harry, 36.

Ia adalah penampilan pertama Harry yang berkahwin dengan pelakon Meghan Markle kembali ke United Kingdom selepas secara rasmi meletakkan jawatan sebagai anggota kanan keluarga diraja Britain pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 2:05 AM