SYLVESTER Stallone. FOTO AFP
SYLVESTER Stallone. FOTO AFP
AFP

PIHAK pendakwa Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan ke atas bintang filem Sylvester Stallone untuk melihat sama ada beliau perlu didakwa susulan kaitan dalam serangan seksual yang dilaporkan tahun lalu.

Jurucakap pejabat Peguam Daerah Los Angeles, Greg Risling berkata, kes berhubung Sylvester Stallone itu dibentangkan oleh Jabatan Polis Santa Monica hari ini.

“Ia kini sedang diteliti oleh pasukan jenayah seks kami,” katanya.

Kes berkenaan membabitkan laporan seorang wanita pada November tahun lalu bahawa aktor berusia 71 tahun itu yang terkenal menerusi watak dalam filem seperti Rocky dan Rambo melakukan serangan seksual ke atasnya sekitar tahun 1990.

Ristling bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai serangan berkenaan atau mengulas jika tempoh limitasi selama 10 tahun dalam sistem perundangan California boleh diguna pakai untuk kes itu.

Jabatan Polis Santa Monica dan peguam Stallone, Martin Singer turut gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.

Pertuduhan ke atas aktor terkenal berkenaan timbul semula serentak dengan kebangkitan kempen #MeToo yang memfokus kepada serangan seksual di Hollywood serta lokasi lain di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 11:28 AM