ZINTA mengakui dirinya menjadi mangsa penderaan dan tidak berniat memperkecilkan mangsa gangguan seksual. FOTO/AGENSI
ZINTA mengakui dirinya menjadi mangsa penderaan dan tidak berniat memperkecilkan mangsa gangguan seksual. FOTO/AGENSI
AFP

MUMBAI: Pelakon Bollywood, Preity Zinta memohon maaf semalam berhubung komen dibuatnya mengenai pergerakan #MeToo India yang mencetuskan kemarahan dalam media sosial.

Zinta dituduh memperkecilkan mangsa selepas berkata, beliau sendiri berharap menjadi mangsa gangguan seksual.

“Alasan saya mengatakan ‘Saya berharap sesuatu seperti ini berlaku kepada saya’ dalam industri filem dengan senyuman kerana saya akan memberi reaksi dan menampar individu terbabit,” katanya.

Zinta berkata, beliau adalah penyokong kuat pergerakan itu dan mendakwa, komennya, diberi dalam wawancara dengan laman hiburan Bollywood Hungama, disalahertikan.

Bintang berusia 43 tahun yang membintangi filem hit Koi Mil Gaya pada 2003, menambah, beliau sendiri menjadi mangsa penderaan.

“Untuk semua wanita di luar sana. Saya mohon maaf jika secara tidak sengaja menjejaskan sentimen anda terhadap pergerakan #MeToo,” katanya.

Pergerakan itu menyaksikan wanita berkongsi kisah dakwaan gangguan seksual oleh beberapa lelaki berkuasa dalam dunia Bollywood dicetuskan aktres Tanushree Dutta, yang menuduh aktor terkenal Nana Patekar berkelakuan tidak wajar di set penggambaran 10 tahun lalu.

Sejak itu, sejumlah individu popular Bollywood dituduh melakukan salah laku seksual termasuk Vikas Bahl, Sajid Khan dan Alok Nath, namun menafikannya.

Bulan lalu, MJ Akbar meletak jawatan sebagai Menteri Luar Muda India selepas sekurang-kurangnya 20 wanita menuduhnya melakukan gangguan seksual ketika berkhidmat sebagai pengarang akhbar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 12:27 PM