PENGANTIN lelaki Rohingya menunggu pasangannya sebelum mereka dikahwinkan dalam satu majlis di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, Jumaat lalu. - Reuters
PENGANTIN lelaki Rohingya menunggu pasangannya sebelum mereka dikahwinkan dalam satu majlis di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, Jumaat lalu. - Reuters

Yangon: Kumpulan pejuang Rohingya berkata, mereka tiada pilihan kecuali bangkit menentang keganasan ditaja kerajaan Myanmar untuk mempertahankan etnik itu.

Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) turut mendesak wakil etnik itu dibawa berbincang dalam semua keputusan yang memberi kesan kepada masa depan mereka.

ARSA melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan Myanmar pada 25 Ogos lalu, yang mencetuskan operasi tentera besar-besaran di negeri majoriti Muslim di Rakhine, utara Myanmar.

Operasi itu didakwa membawa kepada keganasan, kemusnahan harta benda serta menyebabkan kira-kira 650,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk kempen ketenteraan Myanmar itu sebagai pembersihan etnik, namun Myanmar menafikannya.

Namun, sejak serangan Ogos lalu, kumpulan pemberontak kecil itu melancar beberapa serangan termasuk Jumaat lalu, pejuangnya menyerang hendap trak tentera sehingga beberapa askar cedera.

“ARSA tiada pilihan lain kecuali menentang keganasan ditaja kerajaan Myanmar terhadap penduduk Rohingya, ia bertujuan mempertahankan, menyelamatkan dan melindungi komuniti Rohingya,” kata kumpulan itu dalam kenyataan yang ditandatangani pemimpinnya, Ata Ullah.

“Etnik Rohingya mesti diajak untuk berbincang dalam keputusan yang menjejaskan keperluan kemanusiaan dan masa depan politik mereka,” katanya lagi. – Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 9:14 AM