MOHIB Ullah.
MOHIB Ullah.
AFP

Dhaka: Keluarga kepada Mohib Ullah, pemimpin masyarakat Rohingya yang mati ditembak, menyelar tindakan militan yang membunuh lelaki itu, kerana populariti dan perjuangan hak asasi.

Habib Ullah memberitahu AFP bahawa saudaranya itu menerima ancaman bunuh dari Arakan Rohingya Salvation Army (Arsa) dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan sekurang-kurangnya lapan orang dari kumpulan itu terbabit serta dalam serangan itu.

Mohib Ullah, 48, maut selepas ditembak penyerang tidak dikenali Rabu lalu.

Kejadian berlaku di sebuah kem pelarian di Cox's Bazar ketika dia bertemu dengan pemimpin pelarian lain selepas solat kira-kira jam 8 malam.

"Pasukan Arsa melakukan pembunuhan ini. Mereka sering mengancam akan membunuh saudara saya.

"Arsa tidak hanya membunuh saudara kita mereka membunuh pemimpin hebat kita," katanya.

Sebagai pemimpin, Mohib menubuhkan Persatuan Arakan Rohingya untuk Keamanan dan Hak Asasi Manusia (ARPSH), sebuah kumpulan hak asasi manusia yang memperjuangkan hak mangsa kekejaman tentera Myanmar pada 2017.

Kempen itu mendorong ratusan ribu minoriti Muslim yang ditindas untuk melarikan diri ke Bangladesh di mana mereka tinggal di kem pelarian yang daif.

Bekas guru sekolah itu menjadi terkenal selepas kumpulannya mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran ketika pada 2019 yang dihadiri kira-kira 200,000 pelarian Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 10:47 AM