GAMBAR X-ray menunjukkan peluru penabur di dada Aarif (kiri) dan selepas ia dikeluarkan. - Agensi
GAMBAR X-ray menunjukkan peluru penabur di dada Aarif (kiri) dan selepas ia dikeluarkan. - Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki yang hidup selama empat tahun bersama 97 peluru penabur di dalam dadanya, berjaya menjalani pembedahan bagi mengeluarkan objek berkenaan.

Dia yang ditembak dari jarak dekat ketika tidur oleh saudaranya, bernasib baik kerana ia tidak terkena bahagian jantung atau paru-paru.

Aarif Hussain, 27, dari Moradabad, Uttar Pradesh sebelum ini berjumpa dengan ramai doktor untuk mengeluarkan objek terbabit.

Bagaimanapun, tidak ada doktor yang sanggup melakukan pembedahan itu kerana bimbang ia akan merosakkan organ dan tisu dalam badannya.

Namun, seorang profesor pembedahan di pusat trauma AIIMS, Dr Biblab Mishra bersetuju melakukan pembedahan terhadapnya.

“Jika dia tidak dibedah segera, jangkitan akan merebak ke organ lain. Ia boleh menyebabkan kematian.

“Secara teorinya, ia dilihat sebagai mustahil. Malah saya memberitahu pesakit itu kemungkinan akan mati.

“Tetapi dia sanggup mengambil risiko sekali gus memberikan keyakinan kepada saya untuk meneruskannya,” katanya.

Menurut Aarif, dia ditembak kira-kira 17 hari sebelum berkahwin dipercayai berpunca daripada pertelingkahan mengenai hartanah.

“Saya kini berada dalam keadaan baik dan berterima kasih kepada doktor AIIMS. Dia memberi nyawa baru dan saya ingin menikmatinya dengan bekerja lebih keras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 4:51 AM