Agensi

SEORANG wanita berusia 21 tahun dari Muzaffarnagar, Uttar Pradesh, mendakwa diperkosa bapa, abang dan dua bapa saudaranya kerana dia melarikan diri dari rumah mengikut kekasihnya.

Wanita itu beberapa kali melarikan diri dari rumah untuk bersama kekasihnya, lelaki 32 tahun dikenali sebagai Gayasuddin yang sudah berkahwin dan ada tiga anak.

Dia melarikan diri dua kali Julai lalu, dan yang terbaru, pada Oktober

Menurut laporan Times of India, keluarganya berjaya mengesan wanita itu di sebuah rumah penjagaan tempatnya bekerja dan mereka dikatakan memperkosanya beramai-ramai serta memaksanya menggugurkan kandungan.

Dalam dua kejadian sebelum ini, keluarga wanita itu membuat laporan polis mengatakan dia diculik Gayasuddin namun kes digugurkan selepas wanita itu tampil memberitahu dia mengikut lelaki berkenaan dengan rela.

Wanita itu membuat dakwaan rogol terbabit selepas keluarganya membuat satu lagi laporan polis pada 2 November lalu, bahawa dia diculik Gayasuddin.

Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli keluarganya pada 18 November lalu, bagi dakwaan rogol beramai-ramai serta memaksa pengguguran kandungan.

Ibu wanita itu yang menegaskan suami dan anak lelakinya tidak bersalah, mendakwa tuduhan dibuat anak perempuannya itu kerana dihasut Gayasuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 5:32 PM