Kepulan asap dari bandar raya Deir Ezzor, Syria, ketika tentera kerajaan menawan kubu kuat terakhir IS. Kerajaan Syria mengumumkan bandar raya itu dibebaskan sepenuhnya daripada IS. - Foto AFP
Kepulan asap dari bandar raya Deir Ezzor, Syria, ketika tentera kerajaan menawan kubu kuat terakhir IS. Kerajaan Syria mengumumkan bandar raya itu dibebaskan sepenuhnya daripada IS. - Foto AFP
AFP

TENTERA Syria berjaya menawan Deir Ezzor , kubu kuat terakhir pertubuhan militan Negara Islam (IS), hari ini.

“Tentera mengumumkan mereka berjaya menawan sepenuhnya bandar Deir Ezzor,” lapor televisyen tempatan manakala agensi berita SANA melaporkan Deir Ezzor dibebaskan sepenuhnya.

Unit kejuruteraan tentera kini memeriksa bandar raya berkenaan bagi membersihkan bom dan jerangkap samar.

Semalam, wartawan AFP melihat kemusnahan besar di bandar berkenaan dengan banyak bangunan hancur akibat bedilan meriam dan udara sejak dikepung tiga tahun lalu.

Tentera Syria dibantu pesawat udara Russia menggempur timur bandar itu sejak September lalu selalin Tentera Demokratik Syria disokong Amerika Syarikat, pakatan pejuang Kurdis dan Arab menggempur bahagian lain.

Deir Ezzor adalah bandar utama wilayah Deir Ezzor, kawasan yang kaya dengan minyak, bersempadan dengan Iraq.

IS semakin kehilangan kawasan di Syria dan pekan Albu Kamal di sempadan Iraq, kini menjadi kedudukan saki-baki penting kepada mereka.

Lebih 330,000 terbunuh di Syria sejak konflik tercetus pada Mac 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 7:17 PM