KEADAAN bandar Marawi setelah tamatnya pertempuran selama lima bulan. FOTO Reuters
KEADAAN bandar Marawi setelah tamatnya pertempuran selama lima bulan. FOTO Reuters
Reuters

Manila: Pihak keselamatan Filipina semalam menahan warga Indonesia yang disyaki antara militan yang merampas bandar Marawi pada Mei lalu, kata pihak berkuasa tentera dan polis.

Penjaga keamanan komuniti menahan warga Indonesia itu pagi semalam, kata Timbalan Komander pasukan khas Marawi, Kolonel Romeo Brawner kepada wartawan.

Lelaki itu dikenal pasti sebagai Muhammad Ilham Shaputra, 23, dari Bandar Medan di Utara Sumatera, kata ketua polis wilayah Lanao del Sur, John Guyguyon.

Beg miliknya didapati mengandungi telefon bimbit, pistol .45 kaliber, serpihan bom serta mata wang Filipina, Indonesia dan riyal, ketika dia cuba melepaskan diri menerusi sebuah tasik, kata Guyguyon.

“Kami memfailkan kes terhadapnya kerana dia sebahagian daripada kumpulan awal yang terbabit dalam penawanan Marawi,” kata Guyguyon dalam satu sidang akhbar.

Menurutnya, pihaknya menyediakan laporan siasatan sebelum menambah pelbagai tuduhan lain termasuk pemberontakan serta keganasan difailkan terhadapnya.

Katanya, warga Indonesia terbabit membuat pengakuan bahawa beberapa lagi rakannya bersembunyi di kawasan utama pertempuran di Marawi.

Militan Indonesia itu tiba di Filipina pada November tahun lalu atas jemputan Isnilon Hapilon, Ketua Daish di Asia Tenggara yang terbunuh di Marawi bulan lalu, kata Guyguyon.

Penangkapan itu menunjukkan ‘pembabitan orang awam penting dalam usaha bersama bagi memastikan keselamatan komuniti daripada elemen pengganas’,” kata seorang ahli politik yang membantu usaha menyelamat dan bantuan, Zia Alonto Adiong menerusi satu kenyataan.

Tangkapan itu sehari selepas seorang militan pro-Daish ditembak mati dan sembilan hari selepas Filipina menamatkan operasi ketenteraan.

Penawanan Marawi itu mencetuskan kebimbangan bahawa militan Daish menjadikan rantau Asia Tenggara hab mereka seterusnya mendorong usaha ketenteraan selama lima bulan dilakukan membabitkan pejuang dalaman dan luar seperti Indonesia, Malaysia dan Asia Barat.

Lebih 1,100 orang - kebanyakannya anggota militan - terbunuh dalam pengepungan itu yang memaksa kira-kira 350,000 penduduk meninggalkan rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 8:05 AM