ORANG ramai membawa mangsa yang cedera ke hospital. - Reuters
ORANG ramai membawa mangsa yang cedera ke hospital. - Reuters
PENDUDUK memeriksa tempat kejadian. - AFP
PENDUDUK memeriksa tempat kejadian. - AFP
Agensi

Kabul: Sekurang-kurangnya 57 maut termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala 119 cedera dalam serangan berani mati di luar pusat pendaftaran pengundi ketika orang ramai beratur mengambil dokumen pengenalan dalam serangan terbaru terhadap persiapan pilihan raya.

Daish mengaku bertanggungjawab atas serangan yang menyasarkan projek dilihat penting bagi kredibiliti kerajaan Presiden Ashraf Ghani yang berjanji mengadakan pilihan raya tahun ini.

Reuters memetik jurucakap kementerian dalam negeri Najib Danesh berkata, penyerang berjalan kaki ke pusat berkenaan, di mana pihak berkuasa mengeluarkan kad pengenalan dalam proses awal pendaftaran pengundi untuk pilihan raya Oktober ini.

Letupan memusnahkan kereta dan tingkap di bangunan berhampiran, manakala jalan raya dipenuhi serpihan bangunan.

Pusat pendaftaran itu terletak di kejiranan Syiah, dan antara puluhan pusat daftar seumpamanya di negara itu untuk membolehkan penduduk berdaftar mendapatkan sijil pengenalan, yang diperlukan bagi mengundi.

Rakaman di Ariana TV menunjukkan darah dan kaca yang bertaburan di atas jalan raya, lapor AFP.

Saksi, Bashir Ahmad berkata: “Saya melihat wanita, kanak-kanak. Semuanya datang mengambil kad pengenalan.

Kejadian berlaku di Dasht-e Barchi, barat Kabul, di mana ramai penduduknya golongan minoriti Hazara berfahaman Syiah yang sering menjadi sasaran serangan Daish.

Ia serangan terburuk di Kabul sejak kira-kira 100 orang maut akibat bom disembunyikan dalam ambulans, Januari lalu.

Ashraf berdepan tekanan hebat untuk memastikan pilihan raya diadakan tahun ini, sebelum pilihan raya presiden tahun depan.

Melainkan proses pendaftaran jutaan pengundi - ramai daripadanya tiada kad pengenalan kebangsaan - diselesaikan sebelum musim sejuk, pilihan raya mungkin perlu ditangguhkan sehingga tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 9:09 AM