SEKUMPULAN lelaki mengusung keranda mangsa yang terbunuh  dalam serangan berkenaan. - AP
SEKUMPULAN lelaki mengusung keranda mangsa yang terbunuh dalam serangan berkenaan. - AP

Mazar-i-Sharif: Rakyat Afghanistan mendesak peletakan jawatan menteri dan ketua tentera ketika negara itu berkabung sehari selepas ratusan askar terbunuh dalam serangan Taliban di sebuah pangkalan tentera.

Jumlah kematian sebenar dalam kejadian di Balkh, utara Afghanistan itu, masih tidak diketahui namun ada yang menganggarkan sekurang-kurangnya 130 orang mati.

Serangan itu - paling buruk dilancarkan Taliban terhadap pangkalan tentera - menunjukkan peningkatan kekuatan kumpulan berkenaan selepas lebih 15 tahun digulingkan.

Bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara sementara anggota keluarga mengebumikan mayat mangsa.

Dalam kejadian itu, 10 lelaki bersenjata berpakaian seperti tentera dan menaiki trak tentera memasuki pangkalan berkenaan sebelum melepaskan tembakan jarak dekat, menyasarkan askar yang keluar dari masjid selepas solat Jumaat dan di dewan makan.

Sumber tentera di pangkalan itu berkata, mangsa ialah ‘rekrut muda yang datang menjalani latihan.’

Pengguna Internet menyuarakan kemarahan mereka termasuk menyalahkan kerajaan kerana gagal bertindak balas sewajarnya terhadap beberapa serangan berani oleh Taliban termasuk di sebuah hospital tentera di Kabul, Mac lalu, yang menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Selepas serangan itu, 12 pegawai tentera termasuk dua berpangkat jeneral dipecat kerana cuai.

Pengguna Facebook, Zabiullah berkata: “Ibu kehilangan anak lelaki, kakak kehilangan adik dan isteri kehilangan suami.

“Apa yang kerajaan lakukan untuk mengelak kejadian seperti ini? Ia cuma mengutuknya. Saya bosan dengan keadaan ini dan hanya mampu menangis.”

Seorang lagi pula berkata di Twitter: “Cara terbaik memberi penghormatan kepada mangsa adalah memecat dan menghukum mereka yang tidak menjalankan tugas atau bersekongkol dengan musuh. Ada yang patut meletak jawatan!”

Sementara itu, jurucakap Presiden Ashraf Ghani mengarahkan siasatan terperinci dijalankan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 8:43 AM