PEJUANG Taliban berkawal di Kandahar selepas kawalan keselamatan dipertingkatkan. FOTO EPA
PEJUANG Taliban berkawal di Kandahar selepas kawalan keselamatan dipertingkatkan. FOTO EPA
AFP

Kabul: Kumpulan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap dua letupan bom ke atas bas mini di Mazar-i-Sharif, Afghanistan pada Khamis yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang.

Ia berlaku seminggu selepas letupan maut di masjid Syiah di utara bandar.

Jumlah serangan awam di sekitar Afghanistan menurun selepas Taliban kembali berkuasa pada Ogos, namun kumpulan Sunni IS terus menyasarkan Syiah yang mereka anggap sesat.

Siri pengeboman maut ke atas komuniti minoriti itu telah menggegarkan negara dalam tempoh dua minggu Ramadan.

Menurut jurucakap polis wilayah Balkh, Asif Waziri letupan pada Khamis berselang beberapa minit di kawasan berbeza di Mazar-i-Sharif, ketika penumpang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

"Sasarannya jelas penumpang Syiah," katanya yang memaklumkan 13 orang lagi cedera.

IS bahagian wilayah, ISKP mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman itu, yang dikatakan telah menyebabkan 30 orang terkorban.

Imej pengeboman tersiar di media sosial menunjukkan sebuah bas mini terbakar, manakala satu lagi musnah, dengan pejuang Taliban dilihat membawa keluar mangsa dari kenderaan dan dihantar ke hospital.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Afghan, Zabihullah Mujahid memberitahu AFP, beberapa orang sudah ditahan berkaitan siri serangan itu.

"Serangan ini menyasarkan tempat yang tidak mempunyai cukup kawalan keselamatan seperti masjid dan sekolah, tetapi kini kita sudah menambah kawalan di lokasi berkenaan," katanya.

Letupan itu berlaku seminggu selepas serangan di masjid Syiah di Mazar-i-Sharif, mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan ramai cedera, manakala sehari selepas itu, berlaku pengeboman di masjid lain di Kunduz yang menyasarkan komuniti minoriti Sufi.

Dalam serangan itu sekurang-kurangnya 36 orang terkorban ketika bersolat Jumaat. Di Kabul, serangan berikutnya menyasar Syiah, dengan dua bom diletupkan di sekolah, membunuh enam pelajar.

Pejuang IS mengaku bertanggungjawab atas serangan masjid di Mazar-i-Sharif, tetapi tiada kumpulan setakat ini mengaku serangan ke atas Kunduz atau sekolah di Kabul.

Syiah Afghan yang kebanyakannya daripada komuniti Hazara membentuk antara 10 ke 20 peratus daripada 38 juta populasi Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 12:24 PM