Kamarulzaidi Kamis

Kuala Lumpur:Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus mengembangkan segmen pelaburan hartanah luar negara khususnya di Eropah dengan yang terbaru adalah pembelian tiga kemudahan logistik di Jerman.

Pembelian berkenaan dibuat menerusi KWASA Goodman Germany iaitu syarikat pelaburan bersama antara pengurus dana pencen itu dengan kumpulan hartanah bersepadu global, Goodman Group.

DekaBank, sebuah bank terkemuka Jerman dalam satu kenyataan menerusi laman webnya berkata, pihaknya memenuhi urus niaga itu menerusi pemberian pembiayaan bernilai euro 117.3 juta (RM558.21 juta) kepada KWASA Goodman Germany.

Ketua Pembiayaan Hartanahnya, Amar Latif berkata, pembiayaan berkenaan menggambarkan keupayaan bank berkenaan untuk mengatur dan menerbitkan pinjaman berjumlah besar kepada firma hartanah berpengalaman untuk membeli hartanah premium di negara itu.

“Kami meninjau untuk mengembangkan hubungan sedia ada dengan Goodman di Jerman dan menjangkakan untuk berunding lebih lanjut mengenai urus niaga seperti ini di dalam pasaran,” katanya.

Bank berkenaan berkata, urus niaga itu membabitkan pembelian sebuah hartanah logistik moden di Ergolding, Bavaria yang akan disewa sepenuhnya kepada syarikat automotif terkemuka Jerman, BMW sehingga tahun 2032.

Sementara itu, dua lagi kemudahan logistik adalah terletak di Marl, North Rhine-Westphalia yang akan dipajak bagi jangka panjang kepada Metro Group.

Dengan penyewaan dua kemudahan itu, Metro Group memiliki ruang logistik terbesar di Eropah dengan keluasan 235,000 meter persegi.

Difahamkan KWSP ketika ini meneruskan rancangan pengembangan pelaburan dalam hartanah di rantau Eropah dalam usaha memaksimumkan pulangan.

Selain daripada memiliki beberapa bangunan mewah di London, pada September tahun lalu, KWSP dilaporkan membeli dua aset logistik di Belanda dengan anggaran harga antara STG95 juta (RM476.27 juta) hingga STG100 juta (RM501.34 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 4:00 PM