PEMANDANGAN di Masjidilharam, Makkah, semalam. - Reuters
PEMANDANGAN di Masjidilharam, Makkah, semalam. - Reuters
Reuters

Makkah: Lebih 100,000 anggota keselamatan Arab Saudi dikerahkan untuk melindungi dua juta jemaah yang dijangka melakukan ibadah haji tahunan minggu ini, tetapi tiada ancaman khusus militan dikesan, kata seorang jurucakap kelmarin.

Perhimpunan terbesar umat Islam di dunia itu sebelum ini menyaksikan berlakunya rempuhan yang mengorbankan ratusan jemaah, kebakaran dan rusuhan, dengan tindak balas yang pihak berkuasa diselar sebagai tidak memuaskan.

Arab Saudi yang mempertahankan reputasinya sebagai penjaga tapak suci Islam dan menganjurkan haji, pernah diserang bom oleh kumpulan militan Daish dalam tempoh dua tahun lalu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Saudi, Mansour Turki berkata, pasukan keselamatan sudah menghapuskan sejumlah kecil kumpulan militan di Makkah dan Madinah sejak beberapa tahun lalu.

“Daripada kepakaran dan pengalaman kami berdepan al-Qaeda dan organisasi pengganas lain, kami sedia maklum anggota mereka tidak akan menghilang diri hanya kerana kumpulan mereka dihapuskan.

“Sebab itu kami tidak memandang ringan kemungkinan berlaku ancaman sedemikian dan mengambil segala langkah pencegahan yang perlu,” katanya dalam satu temu bual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 9:07 AM