Jemaah Haji berjalan di sekitar Kota Makkah. FOTO AFP
Jemaah Haji berjalan di sekitar Kota Makkah. FOTO AFP
Reuters

RIYADH: Kira-kira dua juta umat Islam berada di Makkah bagi menunaikan ibadat Haji yang bermula hari ini di Arab Saudi.

Negara berkenaan mempertaruhkan reputasinya dalam menjaga kawasan paling suci bagi umat Islam dan menguruskan rukun Islam kelima itu, yang dicemari dengan tragedi seperti rempuhan, kebakaran dan rusuhan pada masa lalu.

Kementerian Dalam Negara menyenaraikan langkah menangani sebarang ancaman keselamatan daripada serangan militan kepada bantahan politik, tetapi tiada ancaman khusus dikesan setakat ini.

“Kami akan menghalang sebarang tindakan yang bukan sebahagian daripada rukun Haji dan kejadian yang akan memberi kesan kepada keselamatan jemaah atau kemampuan mereka mengerjakan ibadat ini,” kata jurucakap kementerian, Mansour Turki.

Arab Saudi tidak ketinggalan menggunakan teknologi untuk menguruskan aliran jutaan jemaah di tempat sama pada satu masa.

Ia termasuk gelang pengenalan elektronik yang disambung dengan sistem pengesanan global (GPS), yang diperkenalkan selepas tragedi rempuhan pada 2015 yang mengorbankan ratusan jemaah.

Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Bintin, berkata ada agenda elektronik menyeluruh bagi setiap jemaah dan menyediakan banyak aplikasi yang menawarkan panduan.

“Kami mempunyai lebih 18,000 bas, yang semuanya bersambung dengan sistem kawalan yang mengesan laluan mereka.

“Kereta api laju antara Makkah dan Madinah juga sudah siap dan kini sedang diuji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 8:56 AM