GAMBAR hiasan, kanak-kanak Uighur di Xinjiang, China.  - Agensi
GAMBAR hiasan, kanak-kanak Uighur di Xinjiang, China. - Agensi

Beijing: Pihak berkuasa di sebuah daerah di Xinjiang, China, mengharamkan Muslim di wilayah itu menggunakan bahasa ibunda mereka di sekolah.

Langkah itu diumumkan oleh pihak berkuasa Hotan menerusi notis di laman webnya.

Menurut notis berkenaan, penggunaan bahasa Uighur diharamkan dari peringkat prasekolah hingga ke sekolah menengah dengan alasan untuk mempopularkan sepenuhnya bahasa Mandarin yang menjadi bahasa kebangsaan China.

Semua papan tanda dikawasan sekolah juga tidak boleh menggunakan bahasa penduduk tempatan.

Langkah itu adalah penindasan terbaru terhadap Muslim di rantau berkenaan selepas mereka dilarang berpuasa sejak beberapa tahun lalu dan ditegah melakukan sesuatu yang ada kaitan dengan Islam, termasuk memelihara janggut.

Pengharaman penggunaan bahasa tempatan itu akan berkuatkuasa bulan depan, serentak dengan semester baru persekolahan.

Seorang pegawai berkata, buku teks berbahasa Uighur akan digantikan dengan buku teks berbahasa Mandarin.

Perkembangan itu disahkan oleh Kongres Uighur Dunia yang berkata, pengharaman itu buat masa ini akan dikuatkuasakan di daerah Hotan sahaja.

Bagaimanapun, kongres itu tidak menolak kemungkinan ia akan dikuatkuasakan di seluruh Xinjiang yang majoriti penduduknya keturunan Uighur dan beragama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 2:36 AM