Urumqi: Pihak berkuasa Xinjiang semalam mengharamkan pemakaian purdah di bandar raya ini, langkah yang dilihat akan mencetuskan lebih banyak kekacauan di wilayah bergolak itu.

Pengumuman itu dibuat ketika China meningkatkan sekatan terhadap penggunaan pakaian yang melambangkan keagamaan, kononnya bimbang terhadap peningkatan fahaman pelampau Islam.

Ramai pakar berkata, pengharaman purdah serta hukuman keras yang dikenakan ke atas aktivis Islam mencetuskan lagi kemarahan penduduk Uighur, golongan majoriti di wilayah berkenaan.

Pengharaman itu akan dilaksanakan sebaik ia diluluskan oleh Parlimen Xinjiang.

Wanita Uighur secara tradisinya mengamalkan ajaran Islam yang sederhana tetapi sejak kebelakangan ini semakin ramai dilihat mengikut cara pemakaian wanita Arab Saudi dan Pakistan yang menutup seluruh anggota mereka, kecuali mata.

Bulan lalu, pihak berkuasa Xinjiang mengharamkan amalan agama di bangunan kerajaan dan orang ramai dilarang memakai pakaian yang ada kaitan dengan agama.

Ogos lalu, Karamay, sebuah bandar di barat laut wilayah itu mengharamkan wanita bertudung dan lelaki berjanggut menaiki bas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:03 AM