Leftenan Jeneral Manas Kongpan ketika diiring ke mahkamah di Bangkok pada 2015. Hari ini, dia didapati bersalah terhadap tuduhan penyeludupan manusia membabitkan pendatang Rohingya dan Bangladesh. - Foto REUTERS/Agensi
Leftenan Jeneral Manas Kongpan ketika diiring ke mahkamah di Bangkok pada 2015. Hari ini, dia didapati bersalah terhadap tuduhan penyeludupan manusia membabitkan pendatang Rohingya dan Bangladesh. - Foto REUTERS/Agensi
AFP

SEORANG jeneral tentera Thailand didapati bersalah hari ini, bagi pelbagai dakwaan penyeludupan manusia pendatang Rohingya dan Bangladesh dalam perbicaraan besar-besaran di sebuah mahkamah di Bangkok

Pada Mei 2015, junta tentera Thailand melancarkan operasi membanteras penyeludupan manusia oleh sindiket melalui selatan Thailand ke Malaysia dengan sebahagiannya ditahan di kem dalam hutan.

Ia mencetuskan krisis pendatang di Asia Tenggara kerana sindiket membiarkan pendatang terbabit terbiar di kem dalam hutan di sempadan Malaysia - Thailand, menyebabkan ratusan mati akibat kelaparan serta malaria.

Ribuan pelarian dibiar hanyut di laut dalam bot yang sesak di perairan Malaysia, Thailand

dan Indonesia.

Selepas sehari menyampaikan keputusan membabitkan 102 tertuduh, Mahkamah Jenayah Bangkok memutuskan Leftenan Jeneral Manas Kongpan, pegawai tertinggi tentera di selatan Thai, bersalah.

Dia juga didapati bersalah terbabit dalam sindiket jenayah terancang rentas sempadan dan bersubahat mengaturkan penyeludupan manusia.

Mahkamah diberitahu, jeneral itu menerima bayaran melalui pindahan bank daripada ejen penyeludup sebanyak 14.8 juta baht (RM1.9 juta).

Semua tertuduh yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara dan ada berdepan hukuman mati kerana ada yang menghadapi tuduhan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 10:12 PM