Agensi

Moscow: Inilah ‘fidget Spinner’ paling mahal di dunia yang akan dijual dengan harga RM72,300.

‘Edisi terhad’ permainan ini dikeluarkan oleh sebuah syarikat barang kemas mewah Russia, Caviar, yang memang terkenal kerana pelbagai produk eklektiknya.

Sebelum ini, syarikat berkenaan menjual iPhone bertemakan Vladimir Putin dan juga edisi istimewa sarung iPhone7 Donald Trump.

Fidget spinner yang dibuat daripada emas dijangka mula dijual oleh syarikat berkenaan sedikit masa lagi.

Syarikat berkenaan juga mengeluarkan permainan itu yang lebih murah - Caviar Spinner Diamonds - yang boleh dibeli dengan harga RM7,190.

Jika itu juga terlalu mahal, Caviar menawarkan peminat permainan itu dengan satu lagi edisi yang mempunyai warna bendera Russia dengan harga hanya RM1,084.

Caviar yang sebelum ini mengeluarkan jam tangan khas bagi meraikan hari jadi Putin berikrar untuk mendermakan sebahagian keuntungan jualan permainan itu kepada badan kebajikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 4:01 AM