MOON Jae-in mengangkat tangannya selepas kiraan awal menunjukkan dia memenangi pilihan raya Presiden Korea Selatan, di Seoul,  semalam. - AP
MOON Jae-in mengangkat tangannya selepas kiraan awal menunjukkan dia memenangi pilihan raya Presiden Korea Selatan, di Seoul, semalam. - AP
AFP

Seoul: Calon berhaluan kiri dan bekas peguam hak asasi manusia, Moon Jae-In menang besar dalam pilihan raya presiden Korea Selatan, mengikut kiraan awal selepas proses pengundian ditutup, semalam.

Pilihan raya diadakan untuk memilih presiden baru selepas Park Geun-Hye dipecat dan didakwa atas tuduhan rasuah ketika ketegangan semakin meningkat dengan negara jiran, Korea Utara.

Pengundi yang berang dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang menjatuhkan Park, selain dibelenggu isu kekurangan kerja dan kemerosotan ekonomi memberi Moon - dari Parti Demokratik yang menyokong perbincangan dengan Korea Utara - sokongan 41.4 peratus, menurut tinjauan bersama oleh tiga rangkaian televisyen.

Calon Konservatif, Hong Joon-Pyo – yang menuduh Moon ‘berhaluan kiri pro-Pyongyang’ - jauh ketinggalan dengan hanya memperoleh 23.3 peratus undi manakala calon berhaluan tengah Ahn Cheol-Soo di tempat ketiga, dengan 21.8 peratus undi.

“Saya dapat rasakan kehendak rakyat yang kuat untuk mengubah kerajaan. Ia hanya mampu dijadikan realiti melalui undian,” kata Moon selepas mengundi bersama isterinya di Seoul.

Pilihan raya adalah cuti umum di Korea Selatan dan sebanyak 75.1 peratus pengundi keluar mengundi sehingga jam 7 malam, sejam sebelum ia ditutup.

Kempen banyak tertumpu pada isu ekonomi dan kurang membabitkan Korea Utara, namun selepas sedekad pemerintahan konservatif, kemenangan Moon bo leh membawa perubahan dalam pendekatan Seoul terhadap Pyongyang serta Washington.

Calon berusia 64 itu dituduh pengkritiknya sebagai terlalu berlembut dengan Pyongyang dan menggesa dialog serta perbincangan diadakan untuk meredakan ketegangan.

Dia turut dilihat mahukan lebih kebebasan dalam hubungan Seoul dengan Amerika Syarikat (AS), penjamin keselamatan Korea Selatan yang mempunyai 28,500 askar di negara itu.

Ketika berkempen, Moon berkata, ‘kehadiran askar AS penting bukan saja untuk keselamatan kami tetapi juga strategi global AS.’

Jika menang, Moon akan mengangkat sumpah hari ini selepas keputusan rasmi diumumkan. Kebanyakan calon termasuk Moon dan Ahn menolak majlis angkat sumpah besar-besaran sebaliknya mahu terus memulakan tugasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 9:50 AM