ANEKA juadah masakan Minang membangkit selera.
ANEKA juadah masakan Minang membangkit selera.
Zaitie Satibi

Melihat cara hidangannya saja selera pasti terbuka untuk menikmati juadah dengan aneka lauk-pauk. Demikian keunikan masakan tradisional masyarakat Minang yang lazimnya dihidangkan dengan pilihan lebih 10 jenis lauk walaupun yang memakannya seorang saja.

Namun, tidak lengkap menikmati juadah dari Padang, Indonesia itu jika tidak mencuba gulai tunjang atau urat kaki lembu yang dimasak dengan kuah santan pekat dan rempah khas. Teksturnya yang kenyal tapi lembut menjadikan ia juadah kegemaran pelanggan di Padang-on-Wheels.

Padang-on-Wheels yang diusahakan dua beradik, Abjda Zulkifli, 43, dan Sukinah, 41, serta seorang rakan kongsi, Farrah Adeeba Asyraf, 41, bermula dengan jualan menggunakan perkhidmatan ‘trak makanan’ tahun lalu sebelum membuka restoran di Shah Alam, Selangor.

(DARI kiri) Abjda, Farrah Adeeba dan Sukinah sediakan perkhidmatan trak makanan.
(DARI kiri) Abjda, Farrah Adeeba dan Sukinah sediakan perkhidmatan trak makanan.

Menurut Abjda, gulai tunjang termasuk makanan istimewa daerah Padang selain dendeng, rendang Minang, gulai ayam kalio dan sambal balado. Lebih 60 menu ditawarkan dengan keaslian rasa masakan Minang yang semuanya adalah resipi asal daripada neneknya yang berasal dari daerah Padang.

“Semua menu yang disediakan adalah masakan asli yang dimasak nenek di rumah. Jadi, saya bawakan masakan dari dapur rumah kami kepada pelanggan dalam usaha memberikan yang terbaik dan mengekalkan cita rasa tradisional.

“Begitu juga juadah yang dijual daripada trak makanan, kami menggunakan sistem dapur sepusat bagi mengekalkan rasa masakan dan menjaga kualiti,” katanya.

Abjda berkata, pihaknya menawarkan perkhidmatan penyediaan dan penganjuran majlis jamuan di restoran yang boleh menempatkan tetamu sehingga 60 orang pada satu-satu masa.

 JUADAH minum petang, ais teler, bakso dan asam laksa.
JUADAH minum petang, ais teler, bakso dan asam laksa.

“Restoran beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 7 malam, oleh itu kami juga menyediakan hidangan untuk sarapan seperti nasi lemak, roti canai dan roti bakar.

“Sebelah petang pula pengunjung boleh menikmati sajian ringan seperti bakso, asam laksa, pisang goreng keju dan minuman ais teler (koktel buah) dan sirap bandung bersama aiskrim vanila,” katanya.

Pengunjung yang menjamu selera di restoran ini pasti berasa santai dengan dekorasi premis berkonsep hipster. Malah, pencahayaan ruang yang suram juga memberikan suasana tenang untuk menikmati juadah.

AIR bandung bersama aiskrim vanila.
AIR bandung bersama aiskrim vanila.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:52 AM