SEORANG wanita memanfaatkan masanya dengan membaca semasa rambutnya didandan.
SEORANG wanita memanfaatkan masanya dengan membaca semasa rambutnya didandan.
BUKU di perpustakaan mini di salun dipinjamkan oleh Perpustakaan Negara Ivory Coast.
BUKU di perpustakaan mini di salun dipinjamkan oleh Perpustakaan Negara Ivory Coast.
TIADA lagi sembang kosong yang tidak berfaedah ketika berada di salun.
TIADA lagi sembang kosong yang tidak berfaedah ketika berada di salun.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Apabila mengunjungi salun rambut, bagaimana anda menghabiskan masa sepanjang berada di sana? Jika datang bersama teman mungkin boleh berbual-bual namun pastinya dalam dunia digital ini, ramai yang lebih selesa menggunakan masa itu bersembang dengan kawan maya atau leka mengemaskini status media sosial masing-masing.

Ketua perpustakaan di Ivory Coast, Chantal Adjiman juga seperti wanita lain di seluruh dunia yang sering mengunjungi salun rambut. Melihat ramainya wanita di negara itu yang menghabiskan masa di salun rambut, Adjiman tampil dengan idea yang memberangsangkan supaya masa sepanjang berada di situ dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ideanya amat mudah - membuka perpustakaan mini di salun rambut bagi membantu wanita Ivory Coast membaca dan belajar membaca.

Memang tidak banyak salun yang mempunyai ruang besar untuk dijadikan perpustakaan mini tetapi mereka bijak mengaturnya. Di atas rak produk penjagaan seperti krim dan losen meluruskan rambut serta rambut sambungan, terselit deretan buku untuk dibaca.

Usaha itu ternyata mendapat sambutan memberangsangkan dan kini sebanyak 23 salun rambut menawarkan pelanggannya pelbagai jenis buku untuk dibelek sepanjang berada di sana. Semua buku berkenaan dipinjamkan oleh Perpustakaan Negara Ivory Coast.

“Boleh dikatakan perpustakaan hampir tidak wujud di kawasan pinggir bandar. Perpustakaan yang ada pun tidak ramai pengunjungnya dan wanita memang jarang berpeluang ke sana,” kata Adjiman yang melancarkan projek itu pada 2012.

Keadaan ini adalah lumrah memandangkan wanita mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Selain bekerja, wanita juga memikul tugas menjaga anak dan melaksanakan urusan rumah tangga sehingga tidak mempunyai waktu terluang untuk membelek buku.

Jadi, cara terbaik untuk mendekatkan mereka dengan bahan bacaan ialah menyediakan buku di tempat yang sering dikunjungi iaitu di salun rambut.

“Wanita Ivory Coast adalah antara wanita yang menjaga penampilan. Mereka boleh menghabiskan masa lebih sejam setengah di salun rambut bagi mendapatkan dandanan yang diinginkan. Jadi di sinilah peluang untuk mendekatkan mereka dengan bahan bacaan,” kata Adjiman kepada wartawan AFP.

Menurutnya, di bangunan Perpustakaan Negara, lebih 1,750 buku sudah diketepikan untuk dihantar ke salun rambut. Petugas perpustakaan memilih novel, buku kanak-kanak dan karya mengenai hak wanita atau kanak-kanak untuk dimasukkan ke dalam kotak bagi memudahkan proses penghantaran serta pengagihan.

Di luar sebuah salun rambut yang terletak di kawasan pasar, seorang wanita muda kelihatan duduk santai di bangku kayu sambil membaca. Suasana bising dan hingar dengan teriakan peniaga tidak sedikit pun menjejaskan tumpuannya kepada buku yang dipegangnya.

“Saya tiada duit untuk membeli buku. Jadi saya datang ke sini untuk membaca,” katanya sambil tersenyum.

Di dalam salun rambut, keadaan tidak jauh berbeza. Seorang wanita yang sedang menjalani rawatan pengeringan rambut juga asyik membaca novel.

Rupanya usaha Adjiman itu umpama serampang dua mata. Selain memupuk minat membaca dalam kalangan wanita, ia juga secara tidak langsung menarik kedatangan pelanggan ke salun yang mempunyai perpustakaan mini, kata pemilik salun, Benedicte Ouguechi.

Malah pendandan rambut bebas yang tidak mempunyai kedai (dan beroperasi di tepi jalan) juga datang ke salun untuk meminjam buku bagi pelanggan mereka, katanya.

Di daerah Cocody yang terkenal sebagai kawasan elit, Justine Inagohi, 66, tidak berfikir dua kali untuk menyertai skim perpustakaan mini itu sebaik mengetahui mengenainya.

Pemilik salun berusia 66 tahun itu berkata, kebanyakan wanita bersembang kosong atau bercerita mengenai orang lain apabila datang ke salun.

“Daripada mendengar mereka bersembang perkara yang tidak berfaedah, saya lebih suka pelanggan saya membaca,” katanya.

Di salunnya, Inagohi juga menyediakan sudut khas untuk kanak-kanak yang datang menemani ibu mereka. Ruang itu juga digunakan oleh penghuni di bangunannya itu.

Kehadiran buku - sama ada buku kanak-kanak atau untuk orang dewasa - memberi peluang kepada wanita yang buta huruf untuk belajar menulis. Apa yang menarik, lelaki juga mula datang ke salun untuk meminjam buku, kata Adjiman.

“Rupa-rupanya rakyat Ivory Coast suka membaca, cuma tiada akses untuk mendapatkan buku sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 1:16 PM