TENANG mengendali alat muzik.
TENANG mengendali alat muzik.
Nurul Husna Mahmud


Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia (MYPO), meraikan ulang tahun ke-10 dengan beberapa siri konsert bakal membariskan pemuzik muda yang mampu memberi persembahan berkelas dunia.

Selari dengan penubuhan bagi memupuk dan menggalakkan pemuzik remaja dalam seni muzik klasik, sehingga kini orkestra itu membariskan 98 ahli aktif dipilih menerusi uji bakat 500 pemuzik dari seluruh Malaysia.

Platform MYPO turut menyediakan ruang pemuzik remaja merasai pengalaman dalam ensembel bertaraf tinggi, selain menyediakan pengalaman bekerja dalam orkestra.

Pencapaian terbaik MYPO adalah menjelajah enam negeri bagi tujuan persembahan iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, Kedah dan Johor.

Malah turut berkerjasama dengan orkestra muda antaranya Yong Siew Toh Conservatory of Music dan Queensland Youth Orchestra.

Menurut Konduktor Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) Ahmad Muriz Che Rose, potensi ditunjukkan pemuzik MYPO diibaratkan matang dan mampu bergandingan bagi persembahan setaraf dengan pemuzik profesional.

“Bakat dimiliki pemuzik MYPO dipilih berdasarkan kriteria muzik aras tinggi. Ini berdasarkan uji bakat ketat menerusi kriteria sekurang-kurangnya kemahiran tahap tujuh mahupun lapan sebelum mereka boleh menyertai kumpulan ini.

“Mengenai umur kita tidak mendiskriminasi bakat dimiliki kerana ada pemain paling muda usianya 11 tahun ketika menyertai MYPO iaitu pemain biola, Low Zi Yang.

“Dia diiktiraf ‘master class’ dan tidak mustahil mempunyai peluang cerah membarisi pemuzik beraksi di pentas dunia mahupun MPO sendiri.

“MYPO turut menjalani latihan intensif seperti kem muzik dianjurkan sekurang-kurangnya empat tahun sekali memberi pengalaman mereka bermain di bawah tekanan sepertimana dilalui pemuzik profesional.

“Menariknya kumpulan ini sudah masuk tahun ke-10 semestinya kami turut mendapat kolaborasi daripada alumni yang ketika ini sudah berada dalam industri kembali membantu melatih bakat muda yang ada.

“Sebagai contoh dalam meraikan ulang tahun ke-10, ada slot MYPO bermain bersama alumni dan ada juga peluang berkolaborasi di bawah pelbagai pemuzik profesional antaranya Naohisa Furusawa mahupun Benjamin Zander, Fabian Russell dan ramai lagi.

“Semestinya saya berharap MYPO terus cemerlang dalam mencari bakat bagi mengisi orkestra bertaraf dunia. Ketika ini saya berharap lebih banyak lagi bakat muda ditemui terutama mampu bermain biola dan saksofon dengan baik,” katanya.

Tempa nama dalam muzik

Wakil Alumni MYPO, Mohd Mustaqim Abdullah berkongsi pengalaman sepanjang membarisi kumpulan orkestra remaja berkenaan.

Kata pemuzik berusia 33 tahun itu, peluang menyertai MYPO antara saat manis sepanjang pembabitan dalam muzik.

“Saya menyertai muzik agak lewat hanya setelah saya berhenti mengikuti program asasi kejuruteraan. Tetapi disebabkan minat saya tekad dan ketika itu keluarga tidak bersetuju dengan pilihan bidang muzik.

“Namun, mereka beransur-ansur berubah apabila saya dapat menyertai MYPO dan lihat perjalanan kerjaya saya lebih cerah menerusi platform MYPO. Mana tidaknya kesempatan membuat persembahan di pentas orkestra tersohor seperti Dewan Filharmonik Petronas (DFP) membuktikan saya mempunyai bakat.

“Malah dalam MYPO, pengalaman belajar di bawah pemuzik profesional ketika di kem muzik bagi saya paling penting. Meskipun komitmen ditagih oleh MYPO memerlukan kami memperuntukkan masa dan tenaga kerana kem ini diadakan sekurang-kurangnya empat tahun sekali, ia membantu mengemaskan skil muzik dan persembahan,” katanya.

Akrab seperti keluarga

Manakala ahli MYPO, Andrea Sim tiada istilah ‘baru lama’ dalam layanan diterima baik jurulatih mahupun rakan pemuzik lain menyebabkan wujudnya motivasi terhadap dirinya.

“Kami dilatih seperti pemain profesional. Mereka tidak pernah memperkecilkan bakat kami hanya kerana muda, sebaliknya berusaha memberi dorongan agar kami dapat bermain sehabis baik. Malah andai kami dilihat mempunyai bakat lain, jurulatih mahupun tenaga pengajar tidak teragak-agak membantu penguasaan muzik mahupun disiplin lain.

“Mereka ini sering membantu memberi tip baik terutama dalam persembahan muzikal klasik terutamanya. Selain itu dalam MYPO ini kami seperti keluarga sentiasa membantu dan berusaha mencapai ‘chemistry’ membolehkan persembahan berlangsung lancar.

“Malah biarpun terdapat tugasan berbeza, namun bagi saya setiap latihan mempunyai impak baik biarpun hanya konsert kecil seperti ‘Chamber Konsert’,” katanya.

Katanya, cukup teruja membuat persembahan bermula 5 Ogos ini di DFP sempena ulang tahun ke-10, MYPO bakal tampil bersama Hong Kong Children Symphony Orchestra di bawah pimpinan Naohisa Furusawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 12:26 AM