MELANTIK pereka hiasan dalam memudahkan pelanggan untuk menata rias rumah.
MELANTIK pereka hiasan dalam memudahkan pelanggan untuk menata rias rumah.
Hafiz Ithnin


BAGI mereka memiliki rumah baharu pasti inginkan suasana yang menepati cita rasa peribadi dari segi dekorasinya.

Mana tidaknya, dekorasi rumah yang mempunyai cita rasa peribadi pasti memberi suatu kepuasan yang tidak ternilai.

Tidak dinafikan kepada mereka yang mempunyai kemampuan menata rias rumah, melantik pereka hiasan menjadi pilihan kerana syarikat atau individu berkenaan mampu merealisasikan impian anda.

Dalam kata lain, sebaik sahaja mendapat kunci, pemilik hanya perlu membawa pakaian dan barangan peribadi kerana semuanya sudah disiapkan pereka hiasan dalaman.

Dekotaman kali ini, kami ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh gunakan untuk membuat keputusan melantik pereka hiasan dalam bagi menata rias rumah peribadi anda.

1. Fahami peranan pereka hiasan dalaman

Pereka hiasan dalaman rumah mempunyai pelbagai tugas kepada pelanggan. Antaranya menjadi perunding dari segi menganalisis dan matlamat kehendak pelanggan.

Mereka juga antara lain mengawasi perjalanan projek hiasan dalam yang berlangsung seperti jadual dan kos projek yang dijalankan.

Pereka hiasan dalam juga boleh membantu anda dari segi menjadi perunding dalam perkara yang membabitkan undang-undang ubah suai supaya pelanggan tidak melakukan kerja ubah suai rumah yang melanggar undang-undang.

PEREKA hiasan dalam turut menjadi perunding mengenai bahan yang digunakan dalam menata rias rumah pelanggan.
PEREKA hiasan dalam turut menjadi perunding mengenai bahan yang digunakan dalam menata rias rumah pelanggan.

2. Memilih pereka hiasan dalaman yang profesional

Disebabkan ketika ini ramai yang mampu menata rias rumah peribadi dengan baik, tidak dinafikan orang ramai lebih tertarik dengan sentuhan golongan itu bagi melantik menjadi pereka hiasan dalaman untuk rumah mereka.

Sebenarnya anda perlu bijak untuk memilih pereka hiasan yang bukan sekadar mampu menzahirkan impian hiasan dalaman yang diinginkan, tetapi juga perlu mempunyai tahap kerja yang profesional.

Ini termasuk pastikan pereka hiasan dalaman anda mempunyai syarikat berdaftar supaya urusan lebih teratur dari segi pembayaran dan bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini seperti penipuan atau pereka hiasan dalaman yang dilantik gagal menyiapkan projek yang diserahkan.

3. Pengalaman

Sebelum anda membuat keputusan melantik pereka hiasan dalaman, pastikan menyelidik beberapa projek yang sudah mereka laksanakan.

Apabila anda melihat portfolio terdahulu yang pernah dilaksanakan pereka hiasan dalaman berkenaan, anda boleh menilai kekuatan syarikat mereka dalam menyiapkan hiasan rumah yang bakal diserahkan kelak.

Contohnya, anda inginkan konsep rumah pengaruh Inggeris, pastikan pereka hiasan mempunyai kefahaman yang betul dari segi falsafah dan pemilihan elemen tepat untuk menghidupkan konsep yang anda inginkan itu.

PASTIKAN anda juga memahami konsep rumah yang bakal didekorasi.
PASTIKAN anda juga memahami konsep rumah yang bakal didekorasi.

4. Mempunyai ilmu asas

Sebagai pelanggan, sebaik-baiknya anda perlu mempunyai ilmu asas mengenai hiasan dalaman yang sebenarnya kini begitu mudah dicari menerusi laman web atau bacaan media lain.

Apabila pereka hiasan dalaman yang bakal atau sudah dilantik menerangkan sesuatu perkara dalam proses menata rias, sekurang-kurangnya anda boleh memahami dan memberi pandangan tersendiri secara bijak. Dalam kata lain, mempersiapkan diri bukan hanya menjadi pak turut!

5. Kos

Kos adalah perkara paling utama dalam melantik pereka hiasan dalaman. Pastikan anda membuat perbandingan harga seiring dengan kualiti kerja yang bakal dilakukan pereka hiasan dalaman yang dilantik.

Amat disarankan supaya meminta senarai kos yang dikenakan dan perkara itu perlu dipersetujui kedua-dua pihak secara bertulis supaya jika berlaku perkara di luar jangka, sudah ada senarai perjanjian bertulis untuk diambil tindakan selanjutnya.

Ia termasuk kelewatan menyiapkan projek, caj terlindung dan pemilihan barangan yang bukan dipersetujui pada peringkat awal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:10 AM