BUAT perancangan awal sebelum melakukan aktiviti renovasi.
BUAT perancangan awal sebelum melakukan aktiviti renovasi.
Hafiz Ithnin


BAGI mereka yang memiliki rumah baharu pasti teruja untuk melakukan kerja pengubahsuaian atau hiasan dalaman bagi memenuhi cita rasa peribadi sebagai penghuni.

Malah, tidak keterlaluan ada antara pemilik rumah yang sanggup berbelanja besar demi mendapatkan hasil hiasan dalaman yang mereka impikan kerana percaya bahawa kediaman peribadi penting untuk keselesaan diri.

Namun, dalam melakukan kerja pengubahsuaian atau hiasan dalaman, pastinya kita tidak mahu tersalah langkah melakukannya kerana khuatir ia membuang masa. Paling berasa tertekan pastinya jika wang dilaburkan hangus begitu sahaja.

Justeru, Dekotaman berkongsikan beberapa tip yang mungkin berguna untuk anda:

1. Pastikan mempunyai strategi

Strategi adalah perkara paling penting sebaik sahaja anda mendapat

kunci daripada pemaju atau pemilik rumah sebelumnya supaya dapat menguruskan perbelanjaan dan masa dengan baik.

Sebaik-baiknya enam bulan sebelum anda mendapat kunci rumah, pastikan sudah merancang dengan baik dari segi konsep, kos dan mencari kontraktor untuk kerja pengubahsuaian.

Dalam tempoh enam bulan awal sebelum mendapatkan kunci itu, anda sudah boleh merancang idea dari segi konsep rumah yang diimpikan sama ada menerusi pembacaan di media atau membuat tinjauan di rumah contoh.

PASTIKAN aktiviti renovasi sesuai dengan bajet anda.
PASTIKAN aktiviti renovasi sesuai dengan bajet anda.

2. Kewangan

Perkara ini sangat penting melainkan anda tidak kisah berbelanja besar. Bagi mereka yang mempunyai bajet tertentu pastinya berasakan ia memainkan peranan penting.

Dalam meletakkan bajet dalam kerja pengubahsuaian atau hiasan dalaman pastikan anda mempunyai 'wang kecemasan' kerana tidak mahu dalam proses itu ada caj tambahan di luar jangka.

3. Buat perbandingan kontraktor

Dalam melakukan kerja menaik taraf rumah, pembabitan kontraktor memainkan peranan penting kerana hasil kerja akhir itu yang menunjukkan sama ada rumah impian anda menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Sebaik dapatkan lebih daripada dua kontraktor untuk membuat perbandingan harga. Selain itu, buat 'risikan' mengenai hasil kerja yang pernah dihasilkan kontraktor yang bakal dilantik.

Lebih penting, dalam segala perkara membabitkan transaksi kewangan perlu ada bukti dan persetujuan supaya sekiranya berlaku perkara yang tidak diinginkan kedua-dua pihak mempunyai bukti.

PILIH warna yang sesuai untuk jangka panjang.
PILIH warna yang sesuai untuk jangka panjang.

4. Konsep

Ketika anda ingin melakukan hiasan dalaman, tidak dinafikan konsep adalah hal paling penting supaya anda dapat menghasilkan sebuah dekorasi yang bukan sahaja cantik, tetapi praktikal.

Anda boleh melihat konsep rumah yang banyak di pelbagai platform media ketika ini. Malah, peminat dekorasi juga sering berkongsikan hasil hiasan dalaman mereka di media sosial yang mungkin boleh menjadi inspirasi.

Namun, perlu diingatkan tidak semua konsep sesuai dengan rumah anda. Perkara ini kerana kadangkala apa yang anda lihat perkongsian di media sosial terutama di rumah luar negara tidak sesuai dan praktikal untuk rumah anda di negara ini.

Lebih penting pastikan konsep itu mencakupi elemen keselamatan kerana mungkin anda melihat konsep tanpa jeriji itu tampak cantik di rumah orang, tetapi bagi rumah anda ia mungkin boleh mengundang isu kecurian.

5. Pemilihan warna

Hari ini isu kelestarian paling penting kerana ia boleh memberi manfaat kepada si pemilik rumah sama. Pemilihan warna misalnya boleh memberi nilai tambah dari segi penjimatan elektrik.

Warna boleh menjadikan rumah anda kelihatan luas. Selain itu, pemilihan warna rumah juga boleh membantu memudahkan anda menyuai padan perabot atau aksesori pada jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:11 AM