SOFA panjang pelengkap ruang rehat.
SOFA panjang pelengkap ruang rehat.
Zaitie Satibi


BELAYAR dengan kapal mungkin mengujakan, namun jika percutian mengambil masa sehingga berminggu-minggu atau berbulan-bulan pasti timbul kerinduan pada kediaman.

Bagi pengeluar kapal layar yang dinamakan Bella, mereka menggunakan khidmat studio seni bina dari Denmark, Norm Architects untuk menatarias ruang dalaman pengangkutan air sepanjang 20 meter itu supaya kelihatan seperti ‘tidak meninggalkan rumah.’

RUANG tamu bersambung dapur kelihatan ringkas dengan kemasan kayu.
RUANG tamu bersambung dapur kelihatan ringkas dengan kemasan kayu.

Pengarah Urusan Norm Architects, Katrine Goldstein berkata, pihaknya menggunakan pelbagai material dengan sentuhan hangat, sekali gus menangani tanggapan awam yang sering mengaitkan kapal layar dengan besi tembaga dan kayu berkilat atau elemen mewah lain.

“Kami bermatlamat untuk mencapai rangka kerja seringkasnya dengan mengalihkan elemen yang tidak perlu dalam sebuah kapal, sebaliknya menyerlahkan bentuk semula jadi kapal.

“Bella adalah model kapal layar Y7 yang akan dikeluarkan Y Yachts iaitu syarikat pelayaran regatta dan pembuat bot, Michael Schmidt,” katanya yang menghias dengan konsep estetika minimalis.

Rekaan menggabungkan tingkah laku pelayaran selesa bersama prestasi pelayaran yang kompetitif, kapal layar berkenaan dibina dengan berat dikurangkan sebanyak 28.5 tan dan sistem kawalan tersembunyi.

Kayu gelap dijadikan beberapa kemasan di ruang dek pada bahagian bawah kapal layar seperti kabinet dapur, almari di bilik tidur dan meja makan.

Malah, kayu ini juga digunakan sebagai material dinding pemisah rendah yang membahagi ruangan kerja kecil.

KAMAR tidur dihias seringkasnya elak elemen mewah.
KAMAR tidur dihias seringkasnya elak elemen mewah.

Perabot lembut seperti alas duduk bankuet bersarung kain pula berwarna oat manakala perkakas seperti pemegang pintu dan suis lampu dibuat daripada keluli hitam.

Selain itu, lampu berbentuk sfera dan segi empat panjang dipasang pada siling serta di bawah almari untuk pencahayaan yang memberikan mood ceria.

Ini kali pertama Norm Architects menyiapkan hiasan dalaman kapal layar. Konsep sama bagi projek terdahulu membabitkan rumah percutian dengan konkrit sederhana di Sri Lanka dan rumah ladang kontemporari di Suffolk, England.

Rekaan ini juga paduan gelombang jurubina dan pereka dalaman untuk pengangkutan air. Awal tahun ini, Kelly Hoppen menata rias 1,500 bilik mewah kapal persiaran Celebrity Edge manakala Tom Dixon pula menata rias bilik tetamu berkonsep futuristik retro dalam kapal persiaran The Scarlet Lady milik Virgin Voyages yang dijangka memulakan pelayarannya tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 5:30 AM