PASTIKAN aktiviti renovasi berjalan mengikut proses yang sudah dipersetujui. - FOTO Google
PASTIKAN aktiviti renovasi berjalan mengikut proses yang sudah dipersetujui. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


DALAM mendekorasi kediaman terutama membabitkan kerja-kerja pengubahsuaian pastinya memeningkan apatah lagi anda yang mempunyai latar belakang di dalam bidang hiasan dalaman.

Ditambah dengan situasi pemiliknya hanya mempunyai imiginasi mengenai konsep yang diidamkan tetapi tidak mempunyai kepakaran secara teknikal untuk melaksanakannya.

Justeru, mungkin ada yang menggunakan khidmat perunding atau pereka hiasan dalaman untuk melaksanakannya kerana golongan ini lebih mempunyai pengalaman atau kepakaran.

Namun, sebelum membuat keputusan untuk melantik perunding hiasan dalaman ini, beberapa perkara perlu diambil tahu supaya impian anda untuk memiliki dekorasi kediaman impian menjadi kenyataan.

1. Periksa latar belakang perunding atau pereka hiasan dalaman

Perkara ini sangat penting kerana latar belakang adalah contoh terbaik untuk menunjukkan kemampuan golongan ini menghasilkan sesuatu projek.

Jika anda mempunyai satu konsep khusus, pastinya golongan profesional itu mempunyai kemampuan dalam melaksanakannya dan mempunyai kontraktor berpengalaman.

Anda boleh juga membuat 'risikan' dengan menemui pelanggan mereka sebelum ini untuk mengetahui hasil kerja yang pernah dilakukan perunding atau pereka hiasan dalaman itu.

Perkara ini penting supaya tidak berlaku sebarang masalah apabila kediaman anda sudah disiapkan tetapi hasilnya tidak memberi kepuasan.

MENDAPATKAN tatahias kediaman yang diidamkan menjadi impian setiap pemilik. - FOTO Google
MENDAPATKAN tatahias kediaman yang diidamkan menjadi impian setiap pemilik. - FOTO Google

2. Perbincangan secara telus

Perunding profesional sememangnya mereka mempunyai idea tersendiri dalam menjadikan sesuatu kediaman pelanggan itu kelihatan lebih menarik

Setiap pelanggan mempunyai cita rasa yang berbeza dan mereka adalah insan yang akan tinggal di kediaman itu untuk jangka masa yang panjang.

Sebagai pemilik kediaman, anda perlu berterus terang kepada perunding atau pereka hiasan dalaman mengenai kehendak dan impian anda dalam dekorasi berkenaan.

Jangan merasakan cita rasa anda sentiasa tidak menarik kerana perunding atau pereka hiasan dalaman yang berpengalaman dan profesional mampu mengangkat idea asal pelanggan menjadi lebih menarik.

3. Pencerahan tugas

Apabila anda melantik golongan yang profesional dalam mendekorasi kediaman anda, pastikan anda mengetahui tugas mereka secara khusus.

Misalnya, di dalam kontrak anda perlu mendapat penjelasan mengenai tugas yang akan dilakukan golongan berkenaan seperti membuat bajet, memberi arahan kepada kontraktor dan kekerapan datang ke tapak projek.

Perkara ini penting supaya anda dan perunding atau pereka hiasan dalaman dapat melakukan tugas masing-masing dengan baik dalam proses melaksanakan projek berkenaan.

MENGGUNAKAN jururunding hiasan dalaman profesional membantu memudahkan aktiviti renovasi. - FOTO Google
MENGGUNAKAN jururunding hiasan dalaman profesional membantu memudahkan aktiviti renovasi. - FOTO Google

4. Pengurusan kos

Dalam melaksanakan projek pengubahsuaian terutama berskala besar seperti pembinaan struktur baharu, pastinya memakan kos yang tinggi.

Pihak profesional ini perlu memaklumkan mengenai kos berkenan secara telus kepada pelanggan. Bagaimanapun, dalam melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian itu, anda perlu mempunyai bajet kecemasan kerana kadang-kala berlaku perkara yang di luar jangka.

Apabila berlakunya peningkatan kos di luar jangka itu, pihak perunding atau pereka hiasan dalaman perlu memberi justifikasi yang telus mengenai hal itu.

Sebagai pemilik, dinasihatkan jangan hanya bergantung kepada bajet yang sudah dipersetujui sahaja kerana kerja-kerja pengubahsuaian sentiasa mempunyai risiko peningkatan kos.

5. Berurusan dengan pihak yang sepatutnya

Apabila sudah melantik jururunding profesional dalam projek pengubah suaiam kediaman anda yang mempunyai kontraktor dalaman, pastikan ketika melawat tapak projek anda tidak memberi arahan terus kepada pekerja kontraktor sekiranya tidak berpuas hati.

Dinasihatkan supaya memaklumkan kepada perunding atau pereka yang anda lantik kerana mereka adalah individu yang bertanggungjawab untuk memberi penerangan kepada pelanggan.

Sekiranya terlalu banyak arahan diberikan kepada pekerja kontraktor, ia pasti menjadikan proses pengubahsuaian kediaman anda disiapkan dalam keadaan yang agak tertekan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 6:43 AM