DINDING di ruang tamu juga tidak terlalu sarat dengan gantungan pelbagai gambar hiasan.
DINDING di ruang tamu juga tidak terlalu sarat dengan gantungan pelbagai gambar hiasan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Melangkah masuk ke kediaman jenis teres setingkat yang dijadikan inap desa ini sememangnya menerbitkan perasaan tenang dan selesa.

Apa tidaknya, kediaman sekunder ('subsale') seluas 1,650 kaki persegi itu melalui transformasi pengubahsuaian dari sebuah kediaman teres biasa kepada rumah impian.

Pemiliknya, Sofia Zahira Sri Jamal Khir, 30, berkata, kediaman itu merealisasikan dekorasi kediaman impiannya yang selama ini sering dilihat di laman idea dekorasi di laman sosial.

Katanya, dekorasi bertemakan moden minimalis itu menjadi pilihan kerana konsep berkenaan sentiasa malar segar dan digemari semua lapisan masyarakat.

"Saya dan suami memilih kombinasi warna neutral seperti putih dan warna kayu kerana ia dapat menyerlahkan ruang yang lebih lapang serta luas, sesuai untuk fungsi rumah ini sendiri.

"Ia disesuaikan dengan pemilihan perabot moden yang minimal namun mempunyai pelbagai fungsi.

KOMBINASI warna neutral seperti putih dan warna kayu menyerlahkan ruang yang lebih lapang serta  luas.
KOMBINASI warna neutral seperti putih dan warna kayu menyerlahkan ruang yang lebih lapang serta luas.

"Dinding di ruang tamu juga dibiarkan kosong kerana kami mahu tetamu yang datang menginap berasa tenang dan selesa," katanya kepada Harian Metro.

Kediaman berkenaan dijadikan sebagai inap desa, NM Sweet Homestay selepas Sofia Zahira dan suaminya mengambil kira kedudukannya yang strategik di tengah Bandar Diraja Klang, Selangor selain berhampiran hospital serta pusat beli-belah.

Kata Sofia Zahira, kediaman itu mempunyai empat bilik tidur dan dua bilik air dengan rekaan siling yang tinggi.

"Untuk ruang tamu, penggunaan sofa yang ditempah khas menggunakan fabrik mudah dicuci sedikit sebanyak memudahkan kami dalam mengekalkan kebersihan rumah inap desa ini.

"Ia adalah pilihan terbaik kerana sebagai pemilik, kami tidak perlu risau jika penyewa tidak sengaja mengotorkannya.

"Selain itu, dekorasi di ruang tamu juga minimal kerana kami mahu penyewa berasa tenang dan lapang sepanjang menginap di sini," katanya.

RUANG  makan yang dihias dengan perabot minimal.
RUANG makan yang dihias dengan perabot minimal.

Dalam pada itu, untuk memberi lebih nilai estetika, Sofia Zahira turut menggunakan pintu ala rumah ladang (barn door) untuk membahagikan ruang antara kawasan dapur dan ruang tamu.

"Penggunaan barn door menimbulkan elemen tersendiri di kawasan berkenaan dan ia dipadankan dengan kipas siling rekaan vintaj yang tampak klasik.

"Ia menyerikan lagi ruang makan yang sememangnya dihias dengan perabot minimal," katanya yang menggunakan lampu rona 'cool white' dan 'warm white' untuk pencahayaan seluruh kediaman berkenaan.

Sementara itu, Sofia Zahira mengakui dia banyak mengambil idea dekorasi dari pelbagai paparan di laman deko di laman sosial.

Katanya, dekorasi idamannya sukar untuk direalisasikan di rumah yang didiami sekarang lantaran dua anaknya masih kecil.

MENGGUNAKAN lampu rona ‘cool white’ dan ‘warm white’ untuk pencahayaan seluruh kediaman berkenaan.
MENGGUNAKAN lampu rona ‘cool white’ dan ‘warm white’ untuk pencahayaan seluruh kediaman berkenaan.

"Memang diakui agak sukar untuk menjaga 'rumah' jika anak masih kecil, jadi semua idea-idea dekorasi idaman dicurahkan kepada inap desa ini.

"Alhamdulillah, angan-angan selama ini untuk merealisasikan kediaman impian tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 7:01 AM