PEMILIHAN warna cerah, pastel dan sejuk.
PEMILIHAN warna cerah, pastel dan sejuk.
Oleh Helmy Abd Rahman


MEMILIKI ruang kediaman sempit tidak seharusnya menjadikan corak berfikir anda terikut sempit dan terhad. Banyak cara kreatif boleh dilakukan untuk menaikkan seri rumah anda.

Menerusi pelbagai sumber rujukan terutama menerusi Internet dewasa ini, seharusnya lebih mudah untuk mencorakkan rumah anda supaya kelihatan menarik.

Antaranya dengan menggunakan tema gaya Scandinavia yang menitikberatkan ciri minimalis, kesederhanaan dan fungsi, tetapi pada masa sama menggunakan material semula jadi contohnya kulit dan kayu.

TUMBUHAN hidup yang diletakkan di beberapa sudut rumah.
TUMBUHAN hidup yang diletakkan di beberapa sudut rumah.

Konsep Scandinavia ini berjaya diterapkan dengan jayanya di rumah Nur Victoria Ho Pei Shuan dari Kota Samarahan, Sarawak.

“Bagi saya, saiz kediaman kompak tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membataskan cara kita menghias rumah. Jika pandai memilih konsep, ruang terhad juga mampu kelihatan menawan.

“Sebab itu saya pilih gaya Scandinavia yang ringkas dan sederhana, sesuai dengan saiz rumah teres saya. Dengan dipenuhi warna kontra hitam dan putih, tema ini menyegarkan mata memandang, tambahan pula ia turut diselitkan dengan elemen semula jadi.

“Secara mudahnya, tema ini bukan saja elegan, tetapi memberi keselesaan dan pada masa sama kelihatan mewah serta menenangkan,” jelas wanita berusia 35 tahun ini.

Katanya, dia memilih cat dinding warna putih dan kelabu lembut untuk pantulan cahaya lebih baik bagi membolehkan ruang kecil kelihatan lebih luas.

RUANG dapur yang kemas dan tersusun.
RUANG dapur yang kemas dan tersusun.

“Pemilihan warna sebegini juga adalah ‘jalan selamat’ dan tidak lari daripada konsep Scandinavia.

“Antara helah penting untuk ‘menipu’ mata supaya kediaman kompak nampak luas adalah menerusi pencahayaan. Jadi saya memaksimumkan pencahayaan dalam rumah sekali gus menjadikan ruang kelihatan hidup.

“Untuk itu saya letakkan cermin di ruang tamu dan lampu ‘warm white’ di beberapa sudut rumah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nur Victoria menjelaskan, sesuai dengan tema digunakan, dia memilih perabot dan hiasan yang direka secara mudah dan mempunyai kemasan bersih.

NUR Victoria
NUR Victoria

“Ini secara tidak langsung turut membantu menjadikan ruang terhad tampak lapang. Warna perabot pula saya pilih yang cerah, pastel dan sejuk supaya ruang rumah tidak nampak penuh atau sesak.

“Saya juga gunakan tumbuhan hidup sebagai hiasan untuk menaikkan seri kediaman. Banyak manfaat menggunakan tumbuhan hidup sebagai hiasan, antaranya untuk membersihkan udara dalam rumah.

PENGGUNAAN cermin membantu pencahayaan dalam ruangan rumah sekali gus membolehkan kediaman tampak lebih luas.
PENGGUNAAN cermin membantu pencahayaan dalam ruangan rumah sekali gus membolehkan kediaman tampak lebih luas.

“Tumbuhan ini juga menyerlahkan keindahan beberapa sudut di ruangan rumah.

“Bagi yang ingin tahu cara mudah memilih tema hiasan rumah, rajin-rajinlah merujuk di Internet contohnya Pinterest dan Instagram untuk mendapatkan idea bagaimana menghias rumah dan konsep apa yang sesuai.

“Bagaimanapun, pastikan tema dipilih tidak melangkaui bajet. Anda juga boleh buat sedikit demi sedikit, tidak semestinya buat semua sekali gus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:15 AM