NOR Najwa, suami jadikan biru gelap karakter utama ruang tamu. FOTO Mohd Khairul Helmy Mod Din
NOR Najwa, suami jadikan biru gelap karakter utama ruang tamu. FOTO Mohd Khairul Helmy Mod Din
Aniza Zainudin


Rumahmu, rumahku juga! Pasangan Nor Najwa Mohd Azhar dan Mohd Hairol Baharudin berpegang kepada konsep setiap kediaman yang menjadi ‘tumpangan’ buat keluarga kecilnya adalah syurga dunia yang perlu sempurna.

Meskipun memiliki kediaman peribadi di ibu kota, pasangan ini menjadikan faktor ketenangan dan tinggal berdekatan keluarga sebagai alasan utama untuk menetap di pinggir Kuala Lumpur.

Menyewa kediaman teres dua tingkat di Seri Kembangan, Selangor sejak setahun lalu, Nor Najwa mengakui ‘penghijrahan’ kali ini menjadi cabaran buat dirinya dan suami apabila perlu melakukan transformasi secara total dalam merealisasikan rumah impian mereka.

“Kali pertama melihat rumah ini, saya dan suami sudah mengetahui banyak kerja yang perlu kami lakukan untuk memastikan ia menjadi kediaman sempurna dan selesa buat kami sekeluarga.

“Tertarik dengan rekaan, keluasan dan lokasinya, kami optimis serta beranggapan kerja pengubahsuaian, dekorasi dan transformasi bakal dilaksanakan sebagai cabaran, selain menghabiskan masa berkualiti bersama-sama.

“Sejak dulu saya meminati kerja hiasan dalaman dan dekorasi ini. Selepas meletak jawatan dalam sektor perbankan, kebanyakan masa terluang sebagai suri rumah dihabiskan dengan bereksperimen dekorasi termasuk rumah milik peribadi sebelum ini.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa sanggup menghabiskan wang untuk menata hias rumah sewa seperti rumah milik sendiri?

“Jawapan kami berdua cukup mudah. Sama ada rumah sendiri mahupun sewa, ia adalah ruang peribadi untuk mendapatkan ketenangan, keselesaan, keharmonian dan pusat pertumbuhan anak yang kian membesar.

“Kita bertanggungjawab membina syurga dunia istimewa buat keluarga walaupun kediaman ini hanyalah sewaan,” jelasnya yang turut ditemani suami ketika sesi temu bual ini.

Berkongsi inspirasi seni hiasan dalaman, wanita berusia 30 tahun ini mengakui sebelum ini jiwanya terlalu dekat dengan konsep dekorasi ala Scandinavia yang sememangnya trend popular dalam kalangan generasi muda hari ini.

Pernah bermain dengan rona kelabu dan coklat cair yang menjadi antara warna identiti konsep negara Nordik itu, Nor Najwa cuba lari daripada norma biasa apabila menjadikan warna biru gelap sebagai karakter utama di ruang tamu.

Berpandukan carian Internet dan Pinterest sebagai sumber rujukan kegemaran, ibu kepada dua anak ini berkata skema warna ‘bachelor pad’ antara rona yang menjadi ‘trending’ terutama di luar negara.

“Secara peribadi, dalam dekorasi perlu ada eksperimen (mencuba), sekali gus membuatkan seni kreativiti dekorasi dihasilkan berbeza dengan orang lain.

“Permulaannya saya menginginkan cat berwarna hijau gelap bagi dinding di bahagian ruang tamu, namun apabila mengkaji beberapa aspek, saya yakin biru gelap lebih sesuai untuk digandingkan bersama perabot sedia ada.

“Mengamalkan prinsip dekorasi berasaskan bajet, saya percaya setiap orang boleh menata hias kediaman mengikut cita rasa masing-masing. Paling penting, kita perlu melakukan perancangan yang teliti berdasarkan kos selain memanfaatkan sumber sedia ada.

“Seperti sentuhan hiasan dalaman lain, permainan skema warna berbeza berupaya menyerlahkan lagi kecantikan dan seri bagi satu-satu ruang.

“Jadi, bagi ruang tamu, saya dan suami menggabungkan rona biru gelap (dinding), kelabu (sofa dan langsir), coklat (meja kopi berwarna coklat cair yang dicat semula) dan putih (rak televisyen) manakala permaidani yang memiliki semua warna itu ‘menekankan’ lagi tarikan mata,” katanya.

Menurut Mohd Hairol pula, ruang makan pula masih mengekalkan ciri-ciri minimalis apabila memilih set meja makan kayu berwarna putih sebagai lawan kepada rona biru gelap manakala barisan tiga lampu bermotif segi empat sama bercahaya ‘warm white’ (putih yang menimbulkan rasa selesa) dijadikan sumber pencahayaan utama.

Posisi cermin berbingkai putih menghiasi dinding berona sama berjaya mencipta ilusi luas malah memberi refleks rona biru gelap dan keseluruhan ruang tamu.

Menjengah ke ruang dapur, pasangan ini menjadikan putih sebagai warna utama, juga metafora kebersihan dalam penyediaan serta penyajian makanan.

“Dapur hak eksklusif isteri, jadi setiap sentuhan dan dekorasi bagi ruang ini mengikut cita rasa Nor Najwa. Saya bertanggungjawab memasang ‘table top’ dan kabinet DIY yang digabungkan bersama.

“Sepanjang tempoh kerja transformasi ini sebenarnya kami berdua dapat bekerjasama, saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain. Jika saya melakukan kerja pemasangan, isteri pula bertanggungjawab bagi kerja prapemasangan.

“Ketelitian isteri dalam memastikan pemasangan dan pemilihan perabot bersesuaian dengan ruang, tidak membuatkan rumah kelihatan sempit atau serabut dengan barangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 12:47 PM