RUANG santai keluarga.
RUANG santai keluarga.
Nurul Husna Mahmud


ADA kala rekaan yang ringkas memberi penataan lebih baik dan sempurna pada laman di pekarangan rumah.

Itu yang cuba diketengahkan pemilik sebuah kediaman di Seksyen U12, Shah Alam, Selangor, Sri Wahyuni Khaidir, 40, apabila mengambil pendekatan minimalis dalam konsep taman idaman untuk keselesaan seisi keluarga.

Kata ibu kepada empat cahaya mata itu, dia bersama suami, Jamaluddin Sharip, 46, lebih suka rekaan taman ringkas kerana dilihat lebih kemas dan mudah diurus.

“Tumpuan pada ruang laman ini adalah kolam ikan yang dibina kira-kira sebulan lalu.

“Sebenarnya idea ini berdasarkan minat suami terhadap ikan hiasan dan sebelum ini kami pernah memiliki ikan arowana yang dibela selama 10 tahun dalam akuarium, tetapi sayangnya sudah mati.

“Jadi apabila berpindah ke rumah ini lima tahun lalu, masih ada ruang sesuai untuk bina kolam hiasan, jadi saya dan suami mengambil keputusan buat penambahbaikan baru-baru ini.

“Mengenai rekaan kolam ikan ini pula, sebenarnya idea tercetus selepas melihat kolam kediaman selebriti Sheila Rusli.

“Kebetulan pula keluasan laman dan rumahnya mempunyai rekaan hampir sama, jadi saya cadangkan suami supaya ambil konsep sama untuk kolam hiasan di taman kami,” katanya.

Dalam ruang sama, terlebih dulu ada kolam mandi untuk kanak-kanak selain dipisahkan dengan ruang bersantai dibina seakan-akan pelantar kayu yang turut menempatkan set meja dan kerusi rehat.

BINAAN konkrit memberi teres kepada pokok hiasan supaya tampak kemas dan tersusun.
BINAAN konkrit memberi teres kepada pokok hiasan supaya tampak kemas dan tersusun.

Kata Sri Wahyuni, mengenai pilihan tanaman bagi menghijaukan persekitaran tamannya, dia dan suami memilih pokok berdaun berbanding jenis hiasan berbunga.

“Saya lebih sukakan pokok hijau kerana mudah diurus dan tidak perlu guna terlalu banyak masa untuk memantau.

“Rutin saya dan suami masing-masing bekerja. Selain ada anak perlu diuruskan setiap hari, pastinya kena mencari pokok dan perlukan penjagaan minimum.

“Kalau pokok hijau, ia lebih lasak berbanding bunga selain tidak perlu selalu dibaja. Siram pun tidak perlu kerap sangat dan lebih mudah apabila hari hujan.

“Mungkin sukar dalam pilihan tanaman, pokok kurma menggantikan pokok palma sebelum ini.

“Penjagaan untuk pokok kurma leceh sedikit dan perlu dipantau teliti berbanding pokok lain. Paling penting mengenai pokok kurma, ia tidak boleh kerap disiram,” katanya yang membelanjakan sekitar RM15,000 bagi penambahbaikan tamannya dengan kos tiga pokok kurma bernilai RM10,000.

Memudahkan lagi urusan pasangan itu dalam rutin menyelenggara taman terbabit ialah penggunaan rumput tiruan pada bahagian depan taman mini itu.

“Tip saya mudah, kalau ada pemilik ingin memiliki landskap taman tenang dan cantik, rasanya perkara utama ialah mereka kena lihat keluasan serta kesesuaian tanaman.

“Bagi yang bekerja dan tidak mahu terlalu banyak kos selenggara serta penjagaan taman, individu itu sendiri kena rajin kaji selain bertanya kepada nurseri mengenai tanaman lasak.

“Penting amalkan kesederhanaan iaitu tidak perlu penuhkan ruang taman dengan terlalu banyak pokok atau tanaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 1:36 PM