PILIH rona dinding yang lembut untuk memberi kesan luas kepada bilik.
PILIH rona dinding yang lembut untuk memberi kesan luas kepada bilik.
Hafiz Ithnin


Sememangnya menjadi cabaran bagi kediaman yang mempunyai bilik tidur yang sempit. Apatah lagi, sekiranya anda hanya mampu untuk menyewa sebuah bilik sahaja berbanding sebuah kediaman.

Lebih menjadi cabaran apabila anda mempunyai pelbagai barangan peribadi yang tidak boleh diletakkan di luar bilik terutama di ruang tamu, memandangkan ia adalah ruang yang dikongsi bersama dengan penyewa lain.

Sebenarnya untuk menjadikan bilik anda lebih selesa meskipun hanya mempunyai ruang yang kecil, sedikit kreativiti perlu dilakukan supaya anda tidak terasa seperti hidup di dalam bilik stor!

Justeru, menerusi ruangan Dekotaman kali ini, kami kongsikan beberapa panduan yang boleh anda lakukan di bilik tidur yang kecil tetapi mampu menjadikannya kemas, selesa dan praktikal.

1. Warna

Pastikan bilik tidur anda yang kecil itu tidak dicat dengan rona yang gelap kerana ia akan memberi kesan pemandangan yang sempit. Meskipun bilik tidur sering dikaitkan dengan rona yang tenteram dan malap bagi membolehkan anda dapat melelapkan mata dengan cepat, tetapi di dalam situasi bilik itu adalah 'rumah' anda, rona gelap atau malap di dinding bukanlah suatu pilihan yang tepat.

Sebaik-baiknya pilihlah warna yang lebih lembut atau semula jadi kerana ia mampu memberi kesan ruang yang lebih luas. Jika di bilik anda mempunyai tingkap, pilihlah jenis cat yang mampu memantulkan cahaya semula jadi di dalam bilik supaya kesan itu boleh menjadikan ruang kelihatan luas.

2. Langsir

Mempunyai tingkap di dalam bilik yang kecil sememangnya memberi kelebihan kepada penghuni yang menyewa ruang berkenaan supaya si pemilik tidaklah terasa seperti terperangkap di dalam sesuatu ruang.

Sekiranya anda bercadang untuk memasang langsir atau tirai bagi menjaga privasi ketika berada di dalam bilik itu, pastikan memasang langsir dengan kedudukan yang betul.

Sebaik-baiknya langsir dipasang sehingga mencecah garisan pemisah antara dinding dan siling supaya kesan tinggi mampu kelihatan. Selain itu, jika anda ingin memasang langsir warna juga memainkan peranan penting. Jangan gunakan warna gelap kerana ia boleh menjadikan bilik kelihatan sempit.

Cadangan lain ialah menggunakan roller blind yang lebih mudah untuk dipasang dan juga boleh mengawal pencahayaan mengikut keadaan diinginkan. Ketika ini terdapat pelbagai jenis roller blinds termasuk mempunyai 100 peratus gelap.

3. Perabot lebih praktikal

Mempunyai bilik yang kecil bukan bermaksud anda tidak boleh mempunyai perabot tetapi perlu bijak memilih jenis perabot yang mempunyai pelbagai fungsi.

Misalnya, pilih jenis katil yang mempunyai bahagian storan di bawahnya supaya anda boleh memasukkan barangan peribadi yang jarang dipakai di dalamnya. Selain itu, anda juga boleh memilih sofa bed yang berfungsi menjadi sofa dan juga sebuah katil bujang.

4. Hiasan dinding

Melihat dinding yang kosong kadang-kala memberi kesan bosan kepada si penghuni. Namun, bagi anda yang mempunyai bilik kecil, bukan beerti anda tidak boleh meletakkan sebarang hiasan dinding kerana khuatir, ia mampu memberi kesan sempit.

Pilihdinding yang ringkas dan tidak terlalu besar. Jika anda bercadang untuk meletakkan lukisan, pastikan warna lukisan itu tidak mempunyai rona yang terlalu gelap supaya aura ketenangan berada di dalam bilik yang kecil dapat dirasai.

5. Jangan jadi pengumpul!

Anda hanya menyewa sebuah bilik sahaja dan bukan sebuah rumah. Pastinya ruang yang anda miliki amat kecil. Justeru, pastikan barangan di dalam bilik itu adalah sering digunakan dan bukan dijadikan koleksi sahaja.

Misalnya, jika anda mempunyai pakaian yang banyak, pastikan anda hanya 'mengisi' bilik itu dengan pakaian yang kerap digunakan sahaja. Malah susun sama ada pakaian itu dilipat atau digantungkan dengan kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 6:45 AM