RUANG dapur yang dibina semula selepas banjir dengan menyatukan bahagian dapur basah dan kering.
RUANG dapur yang dibina semula selepas banjir dengan menyatukan bahagian dapur basah dan kering.
Hafiz Ithnin


PASANGAN suami isteri, Hafiz Aluwi,39, dan Nor Hidayu Baharudin, 37, banyak belajar ilmu mengenai dekorasi rumah akibat pengalaman banjir yang dilalui mereka pada 2021.

Selama dua tahun, pasangan itu berhabis ribuan ringgit untuk mempunyai sebuah 'istana peribadi', namun akhirnya musnah akibat bencana alam itu.

Perasaan sedih memang ada, tetapi perlu reda dengan dugaan tidak disangka itu apabila mereka antara mangsa banjir di Dengkil, Selangor.

Nor Hidayu berkata, paling tidak dapat dilupakan, beberapa hari sebelum kejadian mereka baharu sahaja melengkapkan hiasan terakhir membabitkan lantai di rumah bersaiz sekitar 1,300 kaki persegi itu.

"Ketika melihat air sudah masuk rumah perasaan sedih itu memang ada. Namun, bertukar reda kerana mungkin ada yang terbaik untuk kami pada masa depan.

"Dinding, kabinet televisyen dan kabinet dapur antara yang rosak teruk ketika itu. Barangan atau perabot yang tidak boleh dialihkan hanya dibiarkan ditenggelami air," katanya.

Selepas mengalami bencana itu, pasangan berkenaan mula menyedari sesuatu terutama bahan perabot atau aksesori memainkan peranan penting bagi memastikan ia tahan lasak walaupun ditenggelami air.

"Selepas banjir, saya dan suami mengupah kontraktor untuk membuat kabinet khasnya yang mempunyai bahan polyvinyl chloride (PVC) kerana ia lebih tahan lasak terutama jika ditenggelami air tidak akan rosak berbanding kayu.

"Selain itu, perabot juga adalah jenis yang mudah diangkat atau dipindahkan seperti yang mempunyai roda. Perkara ini dilihat lebih releven sebagai persediaan jika kemungkinan berlaku lagi bencana banjir di rumah," katanya.

Nor Hidayu berkata, dia dan suami mempunyai minat sama dalam konsep moden kontemporari serta menyuntik beberapa elemen rustik dalam rumah mereka.

Ketika penulis mengunjungi rumah dua tingkat itu, turut terasa seperti sebuah rumah penuh maskulin kerana warna dan lampu siling yang dipilih mereka mencerminkan hal berkenaan.

Sebenarnya mereka menggemari warna semula jadi dalam rumah seperti kelabu, hitam dan coklat.

Malah, aksesori yang tidak terlalu bercorak menampilkan lagi elemen maskulin di dalam rumah mereka.

"Saya banyak merujuk media sosial untuk mendapatkan ilham. Namun, apabila kita menyusun dan mengecat rumah ini, hasilnya bergantung kepada kreativiti sendiri dan contoh daripada media sosial itu tidak akan berlaku seratus peratus.

"Jadi, saya dan suami sebenarnya apabila membeli perabot serta mengecat rumah, kami hanya mengikut kata hati dan menyuai padan sendiri warna dalam rumah supaya ada kesinambungan," katanya.

DINDING dengan elemen simen yang menonjolkan elemen industri.
DINDING dengan elemen simen yang menonjolkan elemen industri.

Tambahnya, kesinambungan warna dalam rumah memainkan peranan penting supaya sesuatu ruang itu tampak menarik. Contohnya, pemilihan cat berwarna kelabu cair sesuai dengan cat berona simen yang dijadikan titik fokal di ruang tamu.

"Pemilihan warna semula jadi juga memudahkan kami untuk menyuai padan dengan warna perabot kerana ia seperti bersifat untuk diadunkan dengan warna lain.

"Selain itu, bagi kami apabila sesuatu ruang itu mempunyai warna yang menonjol, ia perlu mempunyai satu elemen yang boleh dipadankan seperti aksesori atau perabot supaya ia lebih nampak kesinambungan rona," katanya.

Bercerita mengenai pokok hiasan, Nor Hidayu berkata, dia menggemari pokok hiasan di dalam dan di luar rumah kerana tumbuh-tumbuhan hijau yang hidup khasnya mempunyai aura tersendiri.

"Boleh dikatakan pokok dalam rumah kebanyakan adalah pokok hidup. Menjaganya juga tidak sukar kerana pokok dalam rumah mempunyai ciri-ciri yang mudah dijaga.

"Di luar rumah juga saya banyak menanam pokok yang sesuai dengan menerima cahaya matahari lebih seperti kaktus di bahagian balkoni rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 7:00 AM