AISKRIM yang dihidangkan dalam tempurung kelapa punya kelainan tersendiri.
AISKRIM yang dihidangkan dalam tempurung kelapa punya kelainan tersendiri.
PULUT mangga Sungai Golok.
PULUT mangga Sungai Golok.
EMYLLIA menunjukkan antara hidangan makanan Barat dan tempatan yang disajikan di restorannya.
EMYLLIA menunjukkan antara hidangan makanan Barat dan tempatan yang disajikan di restorannya.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

[email protected]. my

Menu terbaru Emmy’s Kitchen, aiskrim purung nyior menjadikan pengunjung tidak dapat menahan selera untuk menikmatinya.

Biarpun ia sekadar aiskrim biasa berperisa yang dicampur laici, badam hancur, jagung dan mayonis, tetapi ia tetap mampu menarik pelanggan kerana dihidangkan dalam tempurung kelapa.

Pemilik Emmy’s Kitchen, Emyllia Diana Shaari, 28, berkata, perkataan ‘purung nyior’ adalah sebutan dialek Kelantan bagi tempurung kelapa dan ia digunakan bagi mencipta kelainan berbanding aiskrim pasu yang popular pada masa kini.

“Masyarakat kita memang sukakan sesuatu yang berbeza dan suka mencuba. Alhamdulillah, setakat ini sambutan memang menggalakkan,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Medan Selera D Blue Kar, Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap hidangan itu menyebabkannya perlu mendapatkan bekalan tempurung dalam kuantiti yang banyak.

“Saya hanya menggunakan setiap tempurung antara dua hingga tiga kali saja untuk menjaga kualiti hidangan.

“Pastinya, selepas ini orang akan mencari tempurung kelapa pula untuk letak aiskrim masing-masing,” katanya.

Emyllia berkata, kedainya menawarkan konsep hidangan ‘street western’ bagi membolehkan masyarakat menikmati hidangan masakan Barat pada harga berpatutan.

Bekas tenaga pengajar dalam bidang kecantikan itu berkata, walaupun kedainya baru beroperasi sebulan lalu, tetapi ia sudah memiliki pelanggan tetap.

Katanya, kedainya menawarkan menu seperti ‘banana split splash’, ‘cheezy lasagna’, ‘spaghetti bolognese meatball’, ‘spaghetti carbonara chicken’, ‘burritto wrap’ dan ‘macaroni cheesebaked’.

Selain hidangan Barat yang menjadi kegemaran pelanggan terutama generasi muda, Emmy’s Kitchen turut menyediakan sajian tempatan seperti pulut pauh Sungai Golok, pulut pisang sagu dan sate kepal yang dijual pada harga RM5 hingga RM12 saja.

“Nama makanan sebenarnya turut mempengaruhi selera pelanggan. Ada pelanggan yang tidak pernah mendengar perkataan sate kepal menyebabkan mereka teruja untuk mencuba menu itu,” katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Menurutnya, dia juga menjual empat jenis ‘lokching’ dalam bahasa Thailand atau sate ikan bakar lokching ayam perisa lada hitam, lokching tomyam, lokching pulut dan lokching keju.

Dia yang dibantu suami, Mohd Nizam Othman, 35, berkata ‘cheezy lasagna’ juga mendapat sambutan kerana rasa dan aromanya yang berbeza iaitu menggunakan sos bolognese daging, sos putih, susu segar, mentega dan keju parmesson serta bahan perasa yang dikukus dalam tempoh 10 minit saja.

Mewarisi kebolehan memasak daripada ibunya, Azizah Mamat, Emyllia tidak pernah menyesal bertukar karier sebagai pengusaha kedai makan walaupun dia mempunyai dua kelulusan bertaraf diploma dalam dua bidang berbeza iaitu bidang seni bina dan kecantikan.

“Saya seorang yang kreatif dan suka mencipta kelainan menyebabkan dekorasi dan hiasan kedai serta bekas makanan yang dihidangkan juga berbeza dengan peniaga lain.

“Saya tidak kisah untuk mengeluarkan modal lebih sedikit, tetapi pulangannya berbaloi. Ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk perluaskan perniagaan ini,” katanya yang juga mempunyai pelanggan di Kuala Lumpur menerusi tempahan secara atas talian di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:28 AM