BINAAN khas untuk meletak pasu bunga di depan beranda utama rumah.
BINAAN khas untuk meletak pasu bunga di depan beranda utama rumah.
BINAAN tangga sebelah kiri rumah yang masih bercirikan tradisional Melayu.
BINAAN tangga sebelah kiri rumah yang masih bercirikan tradisional Melayu.
ANYAMAN buluh menjadi kepingan dinding dikenali sebagai kelarai menyerlahkan ciri tradisionalnya.
ANYAMAN buluh menjadi kepingan dinding dikenali sebagai kelarai menyerlahkan ciri tradisionalnya.
TEBAR layar atau meleh di bumbung daripada kelarai buluh manakala kerangkanya diperbuat daripada ukiran kayu menampakkan ciri seni pertukangan halus.
TEBAR layar atau meleh di bumbung daripada kelarai buluh manakala kerangkanya diperbuat daripada ukiran kayu menampakkan ciri seni pertukangan halus.
D J Dolasoh


Rumah warisan tradisional Melayu Perak ini antara yang masih utuh di Perak meskipun usia binaan asalnya sudah menjangkau lebih 100 tahun.

Kreativiti dan kepakaran pembinaan semula rumah ini pada tahun 2005 membuka mata banyak pihak termasuk pengusaha filem apabila ia dijadikan lokasi penggambaran beberapa drama tempatan dan luar negara selain turut diabadikan untuk filem dokumentari.

Dekorasi seni bina kediaman di Kampung Kerunai, Grik ini dapat dilihat dari jalan utama Grik-Pengkalan Hulu bagai ‘istana kenangan’ atau ‘istana kuning’ tanpa menggunakan sebatang paku pun.

Elemen seni bina rumah warisan yang menggabungkan idea lama dan baru sama ada di luar atau bahagian dalamannya menjadikannya kediaman penuh simbolik dan berprestij.

Binaan tiang konkrit menggantikan tiang asal kayu merbau bagi menjamin keteguhan asasnya, selain bahagian atap rumah ibu lama yang diperbuat daripada kepingan kayu disusun secara berlapis-lapis supaya lebih utuh dan menarik.

Bahagian bumbungnya memiliki reka bentuk rumah Limas dengan penambahan bukaan atap kecil berbentuk V terbalik berfungsi sebagai ruang pengaliran udara ke dalam rumah bagi mengurangkan bahang panas.

Tebar layar atau meleh daripada kelarai bilah buluh manakala bingkainya diperbuat daripada ukiran kayu menampakkan ciri seni pertukangan halus yang menarik dilihat dari luar.

Lebih istimewa, anyaman seni dindingnya dengan sulaman bilah buluh disebut kelarai menggambarkan masyarakat Nusantara dahulu hidup saling bekerjasama dan bersatu padu.

Keunikan sulaman dan anyaman dalam bentuk berlian ini menunjukkan kemahiran serta ketekunan si pembuat yang sememangnya pakar seni anyaman kelarai.

Anyaman daripada buluh diraut dan dipotong menjadi kepingan yang dicelup dengan bahan pewarna sebelum dianyam mengikut motif sesuai hingga kelihatan begitu berseni serta megah.

Daun pintu pula menggunakan papan diketam, lengkap dengan kunci dan berpalang termasuk jejari sebagai langkah keselamatan selain tingkapnya mempunyai ruang bagi kemasukan angin dan cahaya.

Gabungan binaan dua tangga juga menarik apabila bahagian kanan kediaman dengan tangga batu lama yang tinggi berbentuk tradisional, sementara tangga kiri binaan baru dengan seni bina kemasan jubin.

Di dalam rumah, ruang tamu panjang dengan dinding daripada papan lapis dihias pelbagai elemen seperti bingkai gambar, lampu hiasan, jam dinding, kerusi antik dan alat pemain peti bunyi.

Di halaman pula diterjemahkan melalui sebuah taman aliran air daripada batu-batan yang kini tidak kelihatan airnya tetapi masih menghidupkan suasana indah keseluruhannya sebagai rumah warisan tradisional yang pernah mendominasi masyarakat Melayu Perak zaman dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:02 AM