KAWASAN khas kanak-kanak, meja romantik beri pengalaman berbeza kepada pelanggan.
KAWASAN khas kanak-kanak, meja romantik beri pengalaman berbeza kepada pelanggan.

Salam deko. Ini artikel terakhir mengenai dekorasi di kafe atau restoran yang boleh memikat pelanggan. Sejak awal Oktober lalu, setiap minggu satu persatu aspek dihuraikan seperti tema, pemilihan perabot, pencahayaan dan warna. Jadi minggu ini tinggal dua lagi aspek penting yang akan saya huraikan.

Dekorasi

Tahukah anda dekorasi kafe atau restoran sangat jelas sebagai ‘kuasa’ untuk menarik perhatian pelanggan. Pada zaman serba moden ini, pelanggan bukan saja mengeluarkan peruntukan untuk makan di luar semata-mata kerana kelazatan hidangan, malah lebih daripada itu. Mereka juga mahu berada dan merasai suasana menarik, selesa dan bersih saat menjamu selera.

Ini boleh dilihat dengan munculnya banyak kafe atau restoran yang mempamerkan hiasan dekorasi menarik dan ada kalanya kita turut terpanggil untuk singgah menikmati suasana di situ walaupun belum tahu apakah menunya dan belum pasti sejauh manakah keenakan hidanganya?

Namun ini tidak bermakna pengusaha kafe atau restoran terbabit menidakkan hidangan yang lazat. Ia saling berkait antara satu sama lain. Cuba hasilkan hiasan dekorasi yang unik dan lain daripada kebiasaan, apatah lagi negara kita sering menerima kunjungan pelancong asing.

Sudut khas atau istimewa

Lakukan sedikit sentuhan yang lebih kreatif dengan mewujudkan sudut khas atau lebih istimewa. Misalnya, anda membuat sudut untuk kanak-kanak bermain. Ini dapat menarik perhatian pelanggan cilik. Apa kata sediakan sudut romantik, mungkin meja untuk dua pelanggan dengan hiasan ros segar, kerana ada pelanggan inginkan sedikit privasi dalam janji temu mereka.

Kelainan juga boleh ditonjolkan termasuk tempat makan di atas buaian atau kerawang ‘sangkar burung’ yang tentunya memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan. Pada masa sama masyarakat kita yang mementingkan nilai ketimuran turut selesa makan secara bersila. Ia antara pilihan bijak untuk restoran yang menyajikan masakan ala kampung.

Diharap semua aspek yang saya huraikan sepanjang bulan ini sedikit sebanyak dapat membantu anda menghasilkan idea lebih baik dalam menaik taraf kafe atau restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 5:03 AM