SEPERTI rumah di tepi pantai di luar negara.
SEPERTI rumah di tepi pantai di luar negara.
Nurul Husna Mahmud
Nurul_husna@hmetro.com.my


SEPERTI kediaman yang dihuni warga Sicily di Itali! Itu bayangan penulis apabila menatap setiap sudut dekorasi dalam rumah Azemee Johar dan isteri, Wany Zubry bersama dua cahaya mata.

Meskipun imej polos dengan warna tema utama serba putih, rumah teres setingkat itu bukan sahaja tampak luas malah menonjol apatah lagi pintu pagar utamanya berwarna hitam.

Antara keunikan lain pada rumah yang dibeli pada 2018 itu, kerja pengubahsuaiannya dilakukan sendiri pasangan berkenaan hanya dalam tempoh dua bulan.

Menurut Azemee, dia dan isteri mengambil inspirasi ruang dalam serta luar rumah berkenaan berdasarkan suasana rumah di tepi pantai seperti pernah dilihat di Indonesia mahupun Thailand.

Persekitaran seperti itu kata Azemee, boleh menyuntik suasana santai apabila penghuni pulang selepas penat bekerja.

"Rumah ini ketika kami beli sebenarnya sama sahaja dengan rumah standard teres di taman perumahan berkenaan yang mempunyai tiga bilik tidur.

"Selepas proses pengubahsuaian, rumah ini hanya memiliki dua bilik tidur. Keutamaan kami pada rekaannya kerana mahukan ruang tamu atau 'hall' yang lebih luas.

"Kami suka konsep terbuka dan memikirkan apabila ahli keluarga atau kenalan datang, ruang berkenaan selesa untuk bersantai mahupun menonton televisyen," kata pengasas Kayuwood itu.

AZEMEE dan isteri melakukan sendiri proses mengubah suai rumah termasuk memecah bilik.
AZEMEE dan isteri melakukan sendiri proses mengubah suai rumah termasuk memecah bilik.

Tambah Azemee, permulaan kerja memecah dinding pemisah antara bilik dengan ruang tamu bukan sesuatu yang rumit.

Dia dan isteri mengambil masa untuk pecah dan kerja kemasan dinding itu antara dua minggu hingga sebulan.

"Hasil seperti ini sebenarnya perlu kerja 'berat' sedikit sebab kami melakukan secara manual termasuk membentuk semula selain kemasan memakan masa sekitar sebulan.

"Kerja melengkapkan keseluruhan rumah termasuk perabot dan aksesori, kami mengambil masa dalam dua bulan termasuk ruang kegemaran isteri iaitu bahagian dapur," katanya.

Mengenai spesifik konsep atau idea, kata Azemee, dia dan isteri gemarkan gaya ringkas, tetapi praktikal.

RUANG tamu selesa keutamaan dalam rekaan rumah berkenaan.
RUANG tamu selesa keutamaan dalam rekaan rumah berkenaan.

"Kalau keseluruhan idea atau konsep hiasan dalaman yang ada, tiada tema tertentu melainkan kombinasi minimalis, kayu (skandinavia) dan tumbuh-tumbuhan. Ia lebih fusion.

"Skandinavia ialah pada perabot kerana banyak material kami gunakan adalah kayu. Kemudian kami sukakan tumbuh-tumbuhan dan cuba kolaborasi dengan memuat masuk elemen itu dalam rumah.

"Apabila ada tumbuh-tumbuhan dalam rumah, penting untuk pastikan pencahayaan selain membantu pengudaraan baik dalam rumah," katanya.

Ketelitian pasangan itu dapat diperhatikan dengan pemilihan perabot selain susun atur yang begitu sempurna sehingga dekorasi rumah berkenaan 'viral' di platform media sosial.

TUMBUHAN dalaman menberi rona malar hijau yang menenangkan.
TUMBUHAN dalaman menberi rona malar hijau yang menenangkan.

Helah lain dimuatkan dalam memberi ilusi rumah berkenaan lebih luas ialah penggunaan cermin dan tingkap kaca rekaan moden dan besar.

Namun kata Azemee, pengorbanan perlu dilakukan untuk mendapatkan rekaan berkenaan ialah ruang parkir yang selesa.

Disebabkan dia mewujudkan patio untuk melepak di bahagian laman menyebabkan kereta tidak dapat diparkir di kawasan itu.

BAHAGIAN hadapan rumah yang mana pagar hitam menonjolkan lagi warna rumah berlatar putih.
BAHAGIAN hadapan rumah yang mana pagar hitam menonjolkan lagi warna rumah berlatar putih.

"Sedikit kelainan apabila tiada parkir khas kerana bahagian parkir lama dimuatkan sebagai ruang yang terbabit dalam kerja menaik taraf rumah itu supaya ada sedikit ruang santai di depan rumah," katanya.

Malah Azemee turut merancang membina loteng untuk dijadikan galeri atau bilik simpanan demi mengoptimumkan penggunaan ruang dalam rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 7:00 AM