MENGETENGAHKAN konsep seperti dalam taman.
MENGETENGAHKAN konsep seperti dalam taman.
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


MINAT mendalam terhadap tumbuh-tumbuhan termasuk pokok hiasan hijau mendorong wanita ini menata hias rumahnya seperti berada dalam sebuah taman indah.

Apa tidaknya, di setiap sudut rumah Haslina Hussin dan suaminya, Rusli Alias di Subang Jaya, Selangor ini dipenuhi tumbuhan hijau pilihan.

Bukan itu sahaja, ibu kepada dua anak perempuan ini bijak memanfaatkan setiap ruang di pangsapuri berkeluasan 66.9 meter persegi (721 kaki persegi) ini yang dihuni sejak tiga tahun lalu supaya nampak luas.

Padanan rona coklat, kelabu dan hijau yang digunakan mampu mewujudkan aura ketenangan kepada sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke rumah ini.

Selain itu, penggunaan pelbagai lampu hiasan bukan sahaja dapat memberi impak tambahan dalam dekorasi, malah mencipta suasana lebih menarik.

Haslina berkata, minat untuk mendekorasi rumah sudah menjadi hobinya sejak kecil.

Bagaimanapun katanya, konsep yang dipilih sentiasa berubah mengikut peredaran usia.

"Untuk rumah sekarang, saya sendiri yang merancang dan mendekorasinya mengikut kehendak dengan mengetengahkan konsep taman.

"Saya bersyukur, suami juga sentiasa memberi sokongan dan kami juga mempunyai minat yang sama," katanya ketika dihubungi.

SUSUN atur perabot dititikberatkan.
SUSUN atur perabot dititikberatkan.

RUANG tamu menjadi ruang kegemaran Haslina bersama keluarga.
RUANG tamu menjadi ruang kegemaran Haslina bersama keluarga.

Menurutnya, dia sangat menyukai suasana yang tenang dan damai seperti berada dalam sebuah taman.

"Saya memilih pokok hiasan hijau sebagai pusat ketenangan saya dalam rumah. Tumbuhan hijau mendamaikan dan sejuk mata memandang.

"Bagi menzahirkan aura itu, saya banyak tempatkan pokok hiasan hijau pada setiap sudut di rumah ini.

"Ia perlu dijaga dengan kemas dan rapi kerana lebih cepat nampak berhabuk. Tetapi, itu bukan satu penghalang bagi saya," katanya.

Mengulas lanjut, setiap ruang dalam rumah mempunyai sentuhan yang sama dan sangat berkaitan antara satu sama lain.

"Ruang yang paling digemari secara peribadi adalah ruang tamu kerana di situ tempat saya suami dan anak-anak beristirahat sambil menonton televisyen apabila mempunyai waktu terluang," katanya.

Menyedari ruang rumah yang terhad, Haslina perlu bijak dalam membuat perancangan teliti terhadap pemilihan jenis perabot dan susun aturnya.

"Aksesori dekorasi perlu ringkas dan tidak keterlaluan supaya ruang dalam rumah kelihatan lebih luas. Perabot yang terlalu besar tidak sesuai untuk rumah bersaiz kompak seperti rumah ini.

"Susun atur perabot perlu tepat untuk tampil menarik cantik dan luas.

HASLINA bersama ahli keluarganya.
HASLINA bersama ahli keluarganya.

"Saya gemar bereksperimen dengan susun atur perabot. Jika saya mendapat idea baharu untuk bertukar susunan, saya akan buat bersama suami," katanya.

Tambahnya, pemilihan warna kelabu lembut pada dinding bagi menampakkan ruang dalam rumah lebih luas.

"Ia juga nampak lebih cantik dan menarik apabila dipadankan dengan pokok hiasan hijau yang diletakkan di setiap sudut rumah.

"Lampu hiasan memantulkan cahaya pada dinding, sekali gus menimbulkan suasana romantik dan membangkitkan aura positif dalam keluarga," katanya.

Jelasnya, menghias rumah memberi kepuasan apabila dapat melihat segenap ruang dalam tampil keadaan teratur dan kemas.

"Rumah yang menarik dan kemas dapat memberi ketenangan minda dalam memulakan kehidupan seharian selain menjadi terapi," katanya.

Katanya, beliau bersyukur perkongsian di media sosial mendapat maklum balas positif daripada warganet.

"Ramai yang meminta saya berkongsi panduan untuk menghias rumah. Saya harap setiap perkongsian ini menjadi inspirasi kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 7:00 AM