JAMBANGAN bunga bersesuaian indahkan meja makan.
JAMBANGAN bunga bersesuaian indahkan meja makan.
Zaitie Satibi


MUSIM perayaan adalah waktu paling tepat untuk berkumpul seisi keluarga, selain peluang berkumpul dengan semua saudara-mara yang jarang bertemu.

Waktu inilah masing-masing saling berkongsi cerita atau pengalaman yang sentiasa segar dalam ingatan sambil bergelak ketawa dengan kisah melucukan.

Biarpun Aidiladha yang jatuh pada hujung minggu ini disambut secara sederhana, kemeriahannya tetap diteruskan. Sudah semestinya acara menjamu selera dengan pelbagai juadah tradisi raya adalah detik paling dinantikan.

Bagi menjamu keluarga dan saudara-mara, meja makan perlu disiapkan secantik mungkin berikutan ruang makan juga adalah tempat tumpuan dalam mengeratkan perhubungan.

Susun atur dan dekorasi yang sesuai, anda boleh menambah lagi keceriaan pada ruang makan untuk menerbitkan suasana selesa.

Pengarah Seni Promosi Produk Visual SSF, Danny Lock berkata, penataan ruang makan memberikan kesan keseluruhan dekorasi kediaman.

Ruang yang sering menjadi tumpuan keluarga dan tetamu itu perlu dihias sempurna supaya sentiasa menarik serta menjanjikan keselesaan ketika menjamu selera.

“Ruang makan juga perlu dimewahkan biarpun dengan sedikit dekorasi yang boleh menangkap pandangan. Menukar pinggan mangkuk, jambangan bunga dan bekas minuman dapat memberi suasana baru dan selesa untuk tetamu dan tuan rumah itu sendiri.

DANNY memberi penerangan jambangan bunga sesuai dihias di meja makan.
DANNY memberi penerangan jambangan bunga sesuai dihias di meja makan.

“Meja makan yang dihias dengan peralatan yang cantik akan menaikkan selera dan memberi keseronokan ketika menikmati makanan. Oleh itu, set meja makan menjadi pelengkap utama ruang berkenaan dan kesesuaiannya perlu diambil kira.

“Perlu juga ditekankan bahawa meja makan utama adalah tempat untuk menyajikan juadah yang berat. Jika banyak juadah disediakan maka sebaik-baiknya guna meja makan panjang. Manfaatkan meja kopi untuk meletakkan balang biskut dan meja sisi untuk menempatkan jag serta gelas.

“Cara menyusun makanan juga penting supaya juadah yang disajikan kelihatan teratur dan mudah dihidang serta dapat dinikmati semua orang. Susun makanan di bahagian tengah saja dengan juadah jenis berat, manakala untuk kuih-muih boleh diletak di meja kecil lain,” katanya.

Katanya, gunakan peralatan hidang yang betul untuk lauk-pauk yang bersesuaian dan jangan lupa menyediakan tempat khusus untuk meletak pinggan makan, piring kuih dan pencuci mulut, gelas, sudu, garpu serta kertas tisu.

SUSUN makanan berat di bahagian tengah meja utama supaya teratur.
SUSUN makanan berat di bahagian tengah meja utama supaya teratur.

Cara menata hias meja makan dengan penampilan yang cantik boleh disempurnakan daripada dekorasi bunga-bungaan. Jambangan bunga segar atau tiruan boleh digunakan untuk mengindahkan lagi suasana kediaman.

Jambangan bunga tiruan yang siap digubah kini mudah ditemui di kedai hiasan dalaman, namun jika anda seorang yang kreatif boleh menggubah semula jambangan bunga tiruan kepada bentuk baru.

“Cita rasa orang ada yang sukakan gubahan ringkas dan moden, namun ada juga yang mahukan gubahan penuh dengan campuran pelbagai bunga. Sebaiknya, rancang dengan baik cara susunan bunga supaya dapat memberi kesan visual menarik.

“Saiz gubahan jambangan tidak menjadi masalah asalkan kita tahu kedudukannya. Bagi hiasan di meja makan, lebih elok tempatkan gubahan yang mudah alih dan tidak mengganggu pandangan tetamu untuk berbicara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 4:30 AM