ILHAM penataan ala Inggeris.
ILHAM penataan ala Inggeris.
Hartini Mohd Nawi

Memperincikan ruang kediaman pencinta keindahan dekorasi ini, ada sesuatu keunikan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Latar landskap hijaunya bagaikan menyambut kunjungan penulis dan jurugambar ke kediamannya di Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Selangor baru-baru ini.

Singgah seketika di ruang santai yang dibina khas bersebelahan pintu utama kediaman, nyata sesi temu bual juga selesa dilakukan di situ.

Idea penataan ringkas di ruang itu pastinya membuatkan tetamu dan keluarga gemar menjadikan ia sebagai lokasi paling privasi.

Lengkap dengan set meja, kerusi makan santai dan hiasan ringkas kemudian berbual sambil menjamu selera pula menghadap kolam air berpancuran di depan mata. Siapa yang tidak teruja!

Apatah lagi papan nota yang tertulis perkataan ‘Selamat Datang Metro’ menyingkap mesej tersirat bahawa penghuninya begitu menghargai kunjungan kami.

Melangkah masuk ke ruang tamu pula, seakan-akan membawa gambaran pemiliknya Siti Ruby Mahyah, 40, mempunyai idea tersendiri dalam setiap susun atur perabot dan elemen hiasan di situ.

SITI Ruby
SITI Ruby

Bagi wanita yang gemarkan kelainan dalam penataan ini, semuanya perlu tampil dalam suasana selesa, bersih dan tidak menghalang laluan pergerakan.

“Idea dekorasi di ruang tamu ini sekadar biasa-biasa, memadai dengan reka letak perabot yang ringkas.

“Memandangkan putih dan krim adalah rona dominan, kehadiran elemen hiasan bercorak serta berwarna berbeza seperti bantal hiasan bermotif bunga menjadi keutamaan.

“Ia bagi menonjolkan suasana seimbang dan tidak tenggelam dalam dua warna itu,” katanya.

Malah suri rumah yang mengusahakan spa Muslimah itu turut menjadikan dekorasi sebagai salah satu usaha menerapkan nilai positif dalam jiwa anaknya.

Dia juga tidak menafikan apabila dekorasi tampil bersih, kemas dan menarik, sudah tentu persekitaran lebih segar serta membawa mood ceria dalam keluarga.

ELEMEN hiasan ringkas yang menjadi penyeri ruang.
ELEMEN hiasan ringkas yang menjadi penyeri ruang.

“Anak bebas mengulang kaji di sudut atau ruang mana yang mereka gemari.

“Atas faktor itu juga, ruang tamu tidak hanya berperanan untuk meraikan tetamu atau menonton televisyen semata-mata.

“Elemen hiasan pula tidak terlalu sarat,” katanya yang menghias ruang makan bersebelahan ruang tamu itu dengan idea tersendiri.

Dalam mengimbangi keindahan ruang, set meja dan kerusi makan putih itu beralas fabrik corak bunga serta berlatar warna biru pada permukaannya.

Kabinet putih yang menempatkan pelbagai koleksi hiasan pula berada di ruang itu nyata mencuri perhatian saat menjamu selera.

RUANG dinding juga dihias ringkas.
RUANG dinding juga dihias ringkas.

“Ruang makan ini juga saya gayakan dekorasinya seringkas mungkin untuk keselesaan khususnya jika ada antara anak kami yang ingin mengulang kaji di sini.

“Penataan ringkas ini lebih memudahkan rutin mengemas atau kerja penyelenggaraan pada hujung minggu,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Siti Ruby juga sering memanfaatkan waktu terluang dengan menjalankan pelbagai aktiviti sosial bersama-sama anak dan suaminya.

Malah sempat juga penulis menjengah ruang dapur kediaman itu yang tidak kurang menariknya dari segi gaya penataan.

Keluasan ruang yang ada itu dimanfaatkan sebaik mungkin, apatah lagi beliau mempunyai beberapa anak perempuan.

PERALATAN dapur, bekas makanan dan dinding dihias kemas dan menarik
PERALATAN dapur, bekas makanan dan dinding dihias kemas dan menarik

“Ruang ini menjadi tempat saya dan anak perempuan berkumpul sambil menyiapkan masakan.

“Di sini jugalah banyak yang kami kongsi dan tentunya berkisar pasal dunia masakan dan kepentingan menjaga persekitaran yang bersih.

“Bak kata orang sambil memasak, kami bertukar idea dan nasihat,” kata Siti Ruby yang gemar mencuba pelbagai resipi berbeza saban waktu itu.

Sekali imbas, idea penataan ruang santai, ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur secara keseluruhannya begitu dekat dengan ala Inggeris.

Sama ada pemilihan warna, motif pada fabrik atau aksesori hiasan.

“Memang saya antara pencinta gaya Inggeris, namun idea dekorasi keseluruhan kediaman ini tidaklah 100 peratus menepati konsep itu.

“Ini kerana inginkan kelainan dan pilihan perabot serta elemen hiasan adalah mengikut kesesuaian atau keselesaan.

“Tiada lain yang ingin saya ketengahkan kecuali inspirasi ketenangan dan ia sememangnya menjadi terapi semula jadi buat kami sekeluarga,” katanya yang turut mendapat sokongan suami tercinta, Muhammad Salleh Salleh, 49.

SEGENAP sudut di ruang dapur ini dimanfaatkan sebaik mungkin.
SEGENAP sudut di ruang dapur ini dimanfaatkan sebaik mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 2:37 AM