GAYA hiasan bunga kering mula popular sekitar 80-an.
GAYA hiasan bunga kering mula popular sekitar 80-an.
Nurul Husna Mahmud


GUBAHAN bunga segar dan hidup mampu menyuntik elemen yang luar biasa apabila ditempatkan di ruang tertentu.

Namun hayat bunga itu terhad dan mula layu hingga akhirnya ia terbuang dalam tong sampah begitu sahaja.

Bagi peminat bunga segar, anda boleh tingkatkan kemahiran dalam menata hias ruang ke tahap seterusnya apabila mengeringkan bunga segar untuk jadi hiasan unik dan lebih eksentrik.

Secara tidak langsung ia boleh menjadi konsep yang unik dalam suatu ruang apabila tampil dengan kaedah serta penataan lebih kreatif.

Malah berdasarkan portal hiasan dalaman antarabangsa, gaya hiasan bunga kering mula popular sekitar 80-an. Pada 90-an pula mula memperlihatkan gaya 'boho' ini kembali menjadi trend dengan konsep yang lebih 'liar,' organik dan aneh.

Atas faktor ia bersifat lestari selain kos efektif, konsep menghias ruang rumah dengan bunga kering mewujudkan senario dalam rumah seolah-olah bermusim apabila dikaitkan dengan 'mood' musim luruh.

Berikut beberapa idea yang boleh anda rujuk dan fikirkan berdasarkan hiasan bunga kering ditampilkan dalam tatarias unik:

TREND gubahan bunga kering menjadi perincian kebanyakan rumah memilih konsep gaya rumah ladang atau kedesaan Eropah.
TREND gubahan bunga kering menjadi perincian kebanyakan rumah memilih konsep gaya rumah ladang atau kedesaan Eropah.

1. Gubahan bunga

Bagi konsep rumah ladang, penggunaan hiasan bunga kering antara sering ditonjolkan untuk menaikkan lagi suasana 'lusuh.'

Hiasan lebih ringkas seperti menggunakan rumput gandum dan rumput pampas yang kering antara kerap menghiasi gubahan pada meja kopi atau konsol.

Penggunaan pasu sederhana tinggi dan dengan kelompok bunga kering dapat melengkapkan lagi suasana seolah-olah berada dalam rumah kedesaan di Eropah.

2. Gantungan bunga di jendela atau dinding utama

Bagi peminat konsep boho atau mahukan kelainan, dekorasi dengan menggantungkan jambangan bunga kering sesuatu unik dan kreatif.

Dengan rantaian berupa tali jut atau tali benang bulu membuatkan ia hiasan ringkas, tetapi penuh eksentrik.

Tidak hairan konsep ini boleh menarik tumpuan tetamu atau terapi buat pemilik itu sendiri.

Ia boleh disusun secara linear atau vertikal mahupun menyerupai bentuk tertentu. Boleh tampil kreatif mengikut kesesuaian ruang terbabit.

BUNGA kering gantung menjadi hiasan dinding di sebuah kafe
BUNGA kering gantung menjadi hiasan dinding di sebuah kafe

3. Dibingkaikan untuk hiasan meja, almari atau di dinding

Suatu lagi kaedah untuk mengekalkan bunga kering dalam keadaan terbaik atau masih dengan warnanya ialah kombinasi rendaman kimia tertentu untuk awet kemudian dibingkaikan.

Kaedah ini agak popular apatah lagi boleh dipelbagaikan terutama jika bunga terbabit memiliki nilai sentimental tersendiri.

Bukan sahaja tampak kemas dan bersusun, dalam bingkai gambar boleh mengekalkan bentuk selain kekal tahan lama.

4. Diletakkan dalam objek lain sebagai perincian

Bunga kering boleh diceraikan kelopaknya bagi hiasan dalam pembuatan lilin atau sabun sebagai hiasan dekorasi rumah.

Selain itu, boleh susun seperti terrarium dalam botol atau bakang kaca.

Terserah sejauh mana kreativiti dan inovasi anda bagi mengguna pakai bunga kering.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 6:07 AM