FORJA House binaan unik apabila sebahagiannya terbina di kawasan cerun. FOTO Arkib NSTP
FORJA House binaan unik apabila sebahagiannya terbina di kawasan cerun. FOTO Arkib NSTP
Hartini Mohd Nawi


RUMAH percutian padat di rantau Alto Douro, Portugal sebahagiannya terbina di kawasan cerun dan mempunyai bukaan besar yang memaparkan pemandangan alam sekitar.

Dinamakan Forja House, ia diilhamkan Pablo Pita Architects sebagai tapak terpencil di perkampungan Vila de Muros.

Perkampungan itu sarat dengan kepelbagaian alam semula jadinya, selain berhadapan Sungai Bestana yang mengalir dari Gunung Montemuro ke Sungai Douro.

Keunikan seni binanya jelas dapat dilihat menerusi binaan rumah kecil itu menggunakan batuan metamorfik tempatan yang dipanggil schist.

Batuan metamorfik adalah mineral yang terbentuk hanya pada suhu dan tekanan tinggi terkait dengan proses metamorfosis.

Dua rakan kongsi yang turut mengasaskan Pablo Pita Architect iaitu Pablo Rebelo dan Pedro Pita pada masa sama berhasrat menjadikan Forja House sebagai alternatif kontemporari untuk bangunan tradisional di kawasan itu.

Sementara itu, Pablo Pita Architects yang berpusat di Porto ditubuhkan pada 2010. Pelbagai latar belakang kerja membolehkan Pablo Rebelo dan Pedro Pita berdepan cabaran serta mengendalikan setiap permasalahan yang timbul.

SUASANA lebih tenang apabila dikelilingi kehijauan alam. FOTO Arkib NSTP
SUASANA lebih tenang apabila dikelilingi kehijauan alam. FOTO Arkib NSTP

KEMASAN setiap ruang berasaskan kayu membawa persekitaran lebih dekat dengan alam. FOTO Arkib NSTP
KEMASAN setiap ruang berasaskan kayu membawa persekitaran lebih dekat dengan alam. FOTO Arkib NSTP

Ia sekali gus mencari keseimbangan dalam setiap pendekatan atau kaedah yang diketengahkan selain memperbetulkan kelemahan dalam seni bina dihasilkan.

Pablo dilahirkan di Caracas pada 1983 sementara Pedro pula di Porto pada 1983. Kedua-duanya adalah lulusan dalam bidang seni bina di Universiti Porto.

Bercerita berkenaan ruang dalaman Forja House, kelihatan perabot minimum dan palet bahan bakar yang diketengahkan membawa sesiapa saja yang berada di rumah itu lebih sebati dengan alam. Apatah lagi dengan pemandangan hutan dan lembah di kawasan luarnya.

Sementara itu, di tingkat atas pula terdapat ruang tamu dan ruang makan yang dilengkapi dapur serta tandas.

Binaan tangga memanjang menghubungkan tingkat bawah yang mengandungi tiga bilik tidur, termasuk suite utama dengan bilik mandi berjubin sudut yang boleh ditutup menggunakan pintu cermin gelongsor.

Bilik tidur mempunyai perabot kayu balak dan pintu yang sesuai di antara lantai serta siling.

Menariknya, tekstur kayunya turut memperkenalkan unsur semula jadi, sekali gus melengkapkan aura keindahan yang begitu dekat dengan alam.

Tidak ketinggalan, tapak konkrit menyediakan ruang luar yang boleh digunakan dengan kolam konkrit dibina bersebelahan lereng berbatu.

SEBAHAGIAN ruang dalaman yang dipasang pintu cermin gelongsor, sekali gus membolehkan pemandangan alam semula jadi dinikmati dari dalam rumah. FOTO Arkib NSTP
SEBAHAGIAN ruang dalaman yang dipasang pintu cermin gelongsor, sekali gus membolehkan pemandangan alam semula jadi dinikmati dari dalam rumah. FOTO Arkib NSTP

BAHAGIAN luar rumah yang turut dilengkapi ruang bersantai untuk menghirup udara segar. FOTO Arkib NSTP
BAHAGIAN luar rumah yang turut dilengkapi ruang bersantai untuk menghirup udara segar. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 6:31 AM