KEBUN dapur Nurul Nadia Shuhani dan bapanya Shuhani Hasan. FOTO arkib NSTP
KEBUN dapur Nurul Nadia Shuhani dan bapanya Shuhani Hasan. FOTO arkib NSTP
Yusliza Yakimir Abd Talib


IKATAN kekeluargaan yang akrab boleh disemai dengan pelbagai cara antaranya menerusi aktiviti hujung minggu, riadah mahupun berkebun.

Perkara ini diakui Nurul Nadia Shuhani, 26, yang menjadikan aktiviti kebun dapur bersama ayahnya, Shuhani Hassan, 55, dan ahli keluarga lain sebagai rutin yang merapatkan hubungan kekeluargaan.

Selain menuai hasil tanaman, aktiviti itu juga menjadikan mereka saling memahami, bertukar idea dan mengeratkan hubu­ngan sesama ahli keluarga di samping menjadikan kebun itu tempat merehat­kan minda.

Memanfaatkan ruangan luar rumah dengan pelbagai tanaman, Nurul Nadia berkata, awalnya hanya pokok bunga dan tanaman hiasan saja yang memenuhi landskap kediaman mereka di Masjid Tanah, Melaka.

Namun sejak Oktober tahun lalu, mereka mula berjinak-jinak dengan menanam pelbagai sayuran dan pokok herba. Nyata percubaan mereka membuahkan hasil.

PELBAGAI tanaman hidup subur di kebun dapur keluarga Nurul Nadia. FOTO arkib NSTP
PELBAGAI tanaman hidup subur di kebun dapur keluarga Nurul Nadia. FOTO arkib NSTP

“Banyak manfaat yang kami dapat sejak mula menanam sayuran sendiri. Selain dapat jimatkan kos belanja barangan dapur, hasil itu boleh juga disedekahkan kepada jiran dan sanak saudara.

“Paling penting sayur yang kami tanam bebas racun yang membahayakan kesihatan. Memang diakui sekarang susah hendak dapat sayur segar tanpa racun, jadi lebih baik tanam sendiri.

“Kelebihan lain yang saya dapati adalah dapat menurunkan berat badan kerana melakukan aktiviti berkebun ini juga mengeluarkan peluh, daripada hanya duduk saja di dalam rumah malah sayur dimakan setiap hari juga segar.

“Tidak dinafikan juga, sejak aktif mengerjakan kebun dapur ini, kami dapat hilangkan stres dan seronok apabila tengok apa yang ditanam tumbuh subur hasil titik peluh sendiri,” katanya.

Antara tanaman menghiasi halamannya yang kini menjadi perhatian ramai adalah kubis, terung, timun, sawi dan bendi selain ramuan dapur yang wajib ada di semua kediaman.

KUBIS yang hidup subur menghiasi halaman rumah. FOTO arkib NSTP
KUBIS yang hidup subur menghiasi halaman rumah. FOTO arkib NSTP

Menurut Nurul Nadia, hasil kebun dapur diusahakan bersama keluarganya itu tidak dijual, sebaliknya dimakan sendiri atau diberi kepada jiran, sanak saudara dan rakan.

Katanya, mereka sekeluarga juga sering berkongsi idea serta saling membantu membersihkan kawasan, menyiram dan membaja tanaman.

Bagi menjimatkan ruang, kebanyakan tanamannya ditanam di dalam pasu supaya boleh disusun cantik. Ayahnya pula membina pagaran atau galang kayu untuk membolehkan pokok timun melilit padanya. Geram melihat buah timun yang menghijau cantik tergantung di situ.

Sememangnya, hasil yang seperti itulah menyemarakkan semangat Nurul Nadia dan keluarga untuk mempelbagaikan lagi tanaman di kebun mini mereka.

Selain itu, dia turut aktif mengikuti laman Facebook seperti Kumpulan Kebun Bandar dan ada juga mengikuti kumpulan WhatsApp berkaitan penanaman kerana jika ada masalah, dia boleh bertanya kepada ahli kumpulan serta saling berkongsi pendapat dan ilmu.

HASIL tanaman dikongsi dengan keluarga dan jiran tetangga. FOTO arkib NSTP
HASIL tanaman dikongsi dengan keluarga dan jiran tetangga. FOTO arkib NSTP

Berkongsi petua mendapatkan hasil yang terbaik, Nurul Nadia berkata, dia mengamalkan tip membelai dan bercakap dengan tumbuhan setiap hari. Dia juga menggunakan petua daripada bahan dapur untuk me­nyuburkan tanaman seperti menggunakan air bawang putih sebagai peng­ganti racun serangga.

“Mudah saja membuatnya iaitu bawang putih dibuang kulit dan ditumbuk halus, kemudian masukkan ke dalam botol semburan yang berisi air, biarkan semalaman. Esoknya boleh sembur pada daun atau batang pokok bagi mengelakkan daripada serangan serangga perosak.

“Semua bahan dan alatan seperti biji benih saya dapati daripada pasar raya terdekat dengan kos yang murah. Kedai Eco adalah tempat paling wajib kami sekeluarga membeli semua jenis biji benih serta bahan untuk tanaman seperti tanah, pasu bunga dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 6:30 AM